Lepar dan Kuala Sentul: PAS Sedang Kuburkan Pengaruh Bersatu?
Dalam politik, pengumuman kecil selalunya membawa maksud yang besar.
Sebab itu apabila Parti Wawasan Negara (PWN) mengumumkan hasrat untuk bertanding di DUN Lepar dan Kuala Sentul, tumpuan sebenar bukan kepada PWN semata-mata. Tumpuan sebenar ialah apa mesej politik yang cuba dihantar melalui pemilihan dua kerusi tersebut.
Ini kerana kedua-dua kerusi itu bukan kerusi biasa dalam percaturan pembangkang di Pahang.
Di sinilah politik menjadi menarik. Selepas perpisahan PAS dan Bersatu, ramai menjangkakan kedua-dua parti akan cuba mempertahankan pengaruh masing-masing. Namun apa yang berlaku hari ini seolah-olah menunjukkan PAS sedang membina susunan politik baharu dan membunuh politik Bersatu di Pahang..
PAS mungkin tidak perlu mengumumkan secara terbuka bahawa mereka mahu mengurangkan pengaruh Bersatu. PAS juga tidak perlu menyerang Bersatu setiap hari.
Cukup sekadar membuka laluan kepada pemain baharu. Cukup sekadar memberi pengiktirafan politik kepada parti yang boleh menggantikan peranan lama Bersatu.
Sebab itu kemunculan PWN di Pahang boleh ditafsirkan sebagai petanda bahawa PAS sedang menyusun semula blok pembangkang mengikut acuan baharu. Bersatu yang suatu ketika dahulu dianggap aset politik kini akan dikuburkan daripada percaturan strategik jangka panjang.
Pahang hari ini bukan negeri yang sedang bergolak. Pentadbiran negeri stabil, ekonomi berkembang, hasil negeri melepasi RM1 bilion beberapa tahun berturut-turut dan pelaburan terus meningkat. Dalam keadaan inilah pembangkang pula dilihat sedang melalui proses penyusunan semula kuasa selepas era PAS-Bersatu.
Maka persoalan yang wajar ditanya rakyat bukanlah sama ada PWN mampu menang atau tidak.
Persoalannya ialah, adakah kemunculan PWN ini benar-benar untuk memperkukuhkan pembangkang?
Atau sebenarnya rakyat sedang menyaksikan proses perlahan-lahan PAS membenamkan saki-baki pengaruh Bersatu di Pahang dengan menggantikannya menggunakan rakan politik yang baharu?
Jika dahulu PAS memerlukan Bersatu untuk memperluaskan pengaruhnya,sebagai sumber dana, hari ini keadaan mungkin sudah berubah. PAS sudah ada kawan baru, selamat tinggal Bersatu.
Apa Reaksi Anda?











