Sultan Pahang kecewa sikap sesetengah pihak tiup api perpecahan demi kepentingan sendiri

Oleh : BARD
Jun 18, 2026 - 09:00 MYT
Sultan Pahang kecewa sikap sesetengah pihak tiup api perpecahan demi kepentingan sendiri

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan kekesalan terhadap sikap sesetengah pihak yang sanggup meniup api perpecahan dengan menjadikan sentimen kaum, agama dan politik sebagai alat meraih sokongan.

Titah Baginda, ia jelas bahawa cabaran perpaduan tidak lagi datang dalam bentuk peperangan atau penjajahan seperti dahulu.

"Kini cabaran itu hadir melalui sebaran fitnah, hasrat kebencian, hasutan dan perbalahan yang disebarkan tanpa batas melalui media sosial dan pelbagai saluran komunikasi.

"Perbezaan pandangan sepatutnya menjadi rahmat bertukar menjadi permusuhan manakala perselisihan kecil diperbesar hingga meretakkan hubungan.

"Lebih malang apabila ada pihak yang sanggup meniup api perpecahan demi kepentingan masing-masing sedangkan yang menjadi mangsa adalah rakyat, masa depan negeri dan negara," titah Baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Laman Sejahtera, Sungai Koyan, Lipis, semalam.

Titah Baginda lagi, terlalu banyak suara di pentas-pentas ceramah dan media namun tidak semua gema suara itu membawa makna.

"Ada yang lantang ketika memohon kepercayaan tetapi perlahan ketika tiba waktu menunaikan tanggung jawab. Mereka begitu mudah menabur janji seolah -olah janji itu tiada harga yang perlu dibayar.

"Rakyat tidak memerlukan pemimpin yang petah berkata-kata sebaliknya mengharapkan pemimpin yang bekerja, berpegang kepada janji dan amanah," titah Baginda.

Sementara itu, dalam titahnya, Al-Sultan Abdullah mengajak rakyat menghayati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dalam membina masyarakat sesebuah negara.

Baginda bertitah masyarakat tidak dibina hanya atas dasar belas ihsan semata-mata, tetapi mesti berdiri teguh di atas tiang keadilan, kedaulatan dan undang-undang.

"Penghijrahan Rasulullah ke Madinah bukan sekadar menyelamatkan umat, bahkan membina sebuah negara yang teratur, aman dan dihormati.

"Islam mengajar kita untuk berlaku ihsan terhadap mereka yang ditimpa musibah, kehilangan tanah air serta menjadi mangsa peperangan dan penindasan namun rahmah yang dianjurkan agama tidak bererti kita mengabaikan kedaulatan negara atau membiarkan belas ihsan melangkaui batas yang ditetapkan undang-undang," titahnya.

Dalam titah itu, Al-Sultan Abdullah memahami kegusaran rakyat apabila golongan tertentu yang asalnya diterima atas dasar kemanusiaan, kini semakin berani mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan mereka di negara ini.

"Rakyat negara ini telah lama menunjukkan sifat pemurah dan berperikemanusiaan namun, kemurahan hati itu jangan sekali-kali disalah tafsir sebagai kelemahan.

"Tangan yang menghulurkan bantuan tidak seharusnya dibalas dengan suara yang semakin meninggi, apatah lagi dengan tuntutan yang semakin menjauh daripada kewajaran," titah Baginda.

Justeru, Baginda meminta pihak berkuasa bertindak tegas, bijaksana dan berhemah dalam menangani isu itu menurut lunas undang-undang.

"Kedaulatan negara hendaklah dipelihara tanpa kompromi, keamanan rakyat mesti dipertahankan tanpa ragu, dan hak warganegara wajib dijunjung tanpa pengecualian," Titah Al-Sultan Abdullah lagi.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow