ISU KEA FARM - JANGAN ADA PIHAK YANG CUBA MENGERUHKAN KEADAAN

“Saya nak perkara ini diharmonikan dan jangan ada pihak-pihak yang cuba nak mengeruhkan keadaan,” titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Baginda bertitah demikian ketika mengulas berkenaan isu 32 peniaga di Kea Farm di sini.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah agar semua pihak terlibat untuk menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya dengar sendiri dan saya soalkan sendiri, saya dah bertelagah sesama sendiri, nak cari jalan terbaik untuk semua pihak termasuklah mereka yang tidak dapat peluang ini.
“Memanglah kita tidak boleh menyenangkan semua pihak. Pihak yang nak bising, itu hak dia, tetapi janganlah berlebihan, ikut proses yang ditentukan. Proses saya tengok dah buat secara betul.
“Tak guna kita nak melaung-laung di luar sana. Sebab kita buat proses yang betul, saya dengar masalah mereka, saya baca. Kita cari alternatif yang boleh beri peluang kedua untuk mereka semua. Keputusan Kerajaan telah dibuat, jadi hormatilah keputusan Kerajaan dan mereka telah memilih yang terbaik, yang sesuai,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah perkara berkaitan isu peniaga ini juga telah diselesaikan mengikut peraturan dan turut meminta pihak terlibat mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan perkara ini.
“Pertama saya bincang dan dengar taklimat daripada PKCH (Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands) tentang status isu ini. Saya bukan nak menyalahkan mana-mana pihak dan menunding jari kepada mana-mana pihak.
“Perkara ini sudah diselesaikan ikut peraturan. Saya mendengar dari segi proses, khasnya saya dah dengar dari segi pemilihannya namun saya berharap yang berlalu, berlalulah. Kita cari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.
“Antaranya mungkin boleh cari lokasi alternatif untuk menempatkan pihak-pihak yang terlepas dapat kawasan ini. Cari tempat lain dan ini akan sedang dikaji dan pihak-pihak Kerajaan Negeri pun akan mengkaji secara detail di mana lokasi-lokasi alternatif yang boleh kita usahakan,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah ketika ditemui selepas bercemar duli menghadiri Persembahan Taklimat Status 32 Penggerai Agro Kea Farm di Hotel Zenith.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; dan YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob.
Apa Reaksi Anda?






