Tahfiz Moden: Pahang Mahu Lahirkan Tokoh Profesional Berjiwa Al-Quran
Pelajar tahfiz perlu bergerak seiring dalam bidang hafazan Al-Quran dan pendidikan moden bagi melahirkan generasi profesional Muslim yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing. Seruan itu disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, yang menekankan kepentingan keseimbangan antara ilmu agama dan akademik dalam kehidupan.
Menurut beliau, penguasaan akademik tidak boleh diketepikan walaupun pelajar memilih laluan hafazan.
“Kita mahu lahirkan huffaz yang juga mampu menjadi teknokrat, banker, dan tokoh korporat. Jika kita tidak menguasai ekonomi, orang lain akan menguasai kita, dan akhirnya ia boleh menyulitkan kita mengerjakan tuntutan agama,” katanya.
Beliau turut menegaskan model pendidikan seimbang seperti di Maahad Tahfiz Ar-Rusyd membuktikan institusi tahfiz mampu bergerak seiring arus pendidikan masa kini, sekali gus melahirkan generasi yang mantap dalam hafazan serta cemerlang dalam bidang ekonomi dan profesionalisme.
Dalam ucapannya, Menteri Besar mengingatkan bahawa hafazan Al-Quran merupakan amanah besar yang menuntut akhlak terpuji, keluasan ilmu serta kemampuan menyumbang kepada masyarakat.
“Jadilah generasi Al-Quran yang membimbing dan menyatukan, bukan memecahbelahkan,” pesan beliau.
Beliau turut menghargai peranan guru dan asatizah serta menzahirkan keyakinan bahawa pengorbanan ibu bapa akan diberikan ganjaran besar oleh Allah SWT.
Majlis Khatam Hafazan Al-Quran dan Anugerah Gemilang Maahad Tahfiz Ar-Rusyd (Kali Pertama) itu berlangsung di Dewan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, Tanjung Gahai. Seusai majlis, Menteri Besar menghadiri Program Berbuka Puasa bersama masyarakat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Tanjung Gahai.
Apa Reaksi Anda?











