Perpecahan PPBM: Ambil Iktibar, Kekalkan Perpaduan
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap agar peristiwa perpecahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dijadikan iktibar dengan mengekalkan perpaduan di antara pemimpin dan ahli parti.
Ini kerana katanya, PPBM telah mula dibubarkan di banyak tempat termasuklah lima bahagian di Melaka, menunjukkan parti itu sedang menuju ke arah kehancuran.
“Di Melaka ada enam bahagian. PPBM ini mula dibubarkan di banyak tempat termasuklah di kawasan saya, Pontian. Apa yang saya boleh beri komen tentang perkara ini ialah ia menunjukkan bahawa parti ini sedang menuju ke arah kehancuran.
“Tetapi, kita tidaklah ingin mengalu-alukan kehancuran pihak lain. Biarlah kita kuat kerana faktor kita sendiri. Bukan kerana kelemahan orang lain.
“Nama partinya ‘BERSATU’ tetapi berpecah. Jadi, pada saya ia adalah takdir yang telah ditentukan. Begitu juga parti-parti yang sebelum ini merupakan serpihan UMNO sebagai contoh parti Semangat 46 dan juga Pejuang. Itu antaranya,” katanya kepada UMNO Online.
Tambahnya, para pemimpin dan ahli parti perlu berusaha untuk memperkukuhkan parti dengan pelbagai cara.
“Kali ini tiba parti PPBM. Parti serpihan UMNO yang sekarang ini masih lagi kukuh, ialah Pas. Parti-parti lain nampaknya tidak dapat bertahan. Oleh itu, kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.
“Pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku. Kita tidak mahu parti kita berpecah seperti parti mereka. Itu iktibar yang utama. Oleh itu kita kena kekalkan perpaduan sesama pimpinan dan ahli,” katanya lagi.
Pada Selasa media melaporkan lima daripada enam jawatankuasa bahagian PPBM di Melaka mengumumkan pembubaran serta-merta.
Bahagian terlibat ialah Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin manakala Kota Melaka tidak terbabit dalam keputusan tersebut.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata, pembubaran itu merangkumi Jawatankuasa Bahagian, sayap Armada, Srikandi, Srikandi Muda, Bersekutu Bahagian serta seluruh cawangan dan sayap cawangan di bawah pentadbiran masing-masing.
Tindakan tersebut turut disusuli oleh PPBM negeri-negeri lain seperti Johor, Perak, Sabah dan lain-lain.
Apa Reaksi Anda?











