SMAN Diperkasa: Pahang Sasar Sekolah Agama Setanding Sekolah Elit
Kerajaan Negeri Pahang komited memperkasa Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) agar setaraf dengan sekolah elit arus perdana melalui anjakan paradigma pendidikan yang lebih fokus dan berimpak tinggi.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, berkata SMAN tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian semasa, sebaliknya perlu melahirkan pelajar yang mampu bersaing dan guru yang terus diperkasa.
Beliau berkata demikian pada penutup Bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan SMAN yang menghimpunkan 70 pegawai JAIP, pengetua dan pentadbir sekolah. Bengkel tiga hari itu merumuskan lapan resolusi utama, termasuk:
100% SMAN berada dalam 30 terbaik SPM Pahang menjelang 2031
95% penguasaan Bahasa Arab melalui IBT
100% kecemerlangan elemen JERSI bagi melahirkan generasi Rabbani
Menteri Besar menegaskan resolusi ini mesti diterjemahkan kepada tindakan nyata di sekolah dan bukan sekadar dokumen dengan penekanan kepada kualiti pengajaran, prestasi murid dan kecemerlangan berterusan.
Kerajaan negeri memperuntukkan RM75 juta setahun bagi belanja mengurus SMAN serta RM1.4 juta untuk makanan asrama. Bagi tahun 2026, RM116.58 juta disalurkan untuk pengoperasian sekolah agama dan RM17.4 juta bagi pembinaan serta penyelenggaraan.
Turut diumumkan ialah kenaikan RM100 elaun Guru al-Quran, Fardhu Ain dan Guru KAFA, serta pengurangan yuran persekolahan dan asrama demi meringankan beban ibu bapa.
Kerajaan negeri turut memperkukuh ekosistem pendidikan Islam melalui penubuhan Sekolah Rendah Agama Islam Negeri Pahang, pemerkasaan tahfiz dan peruntukan RM20 juta untuk transformasi UniPSAS menjadi Universiti al-Quran.
Wan Rosdy berharap Kerajaan Persekutuan terus menyokong SMAN yang melaksanakan kurikulum kebangsaan agar pendidikan Islam di Pahang terus maju dan berdaya saing.
Apa Reaksi Anda?











