Dulu mereka jual cerita “penyatuan ummah”. Kononnya semua bersatu demi Melayu, Islam dan rakyat. Pentang pentung sana sini cakap pasal setiakawan politik. Ceramah penuh air liur konon Perikatan Nasional ialah gabungan paling stabil, paling ikhlas dan paling kuat.
Tapi hari ini? Baru sedikit tekanan, terus terbuka perang sebenar dalam rumah sendiri.
Kenyataan Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar jelas menunjukkan satu perkara hubungan antara Parti Islam Se-Malaysia dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia bukan lagi retak halus. Mereka sudah mula sindir menyindir secara terbuka. Dan bila pemimpin muda PAS sendiri sudah berani membidas Bersatu secara terang-terangan, rakyat mula nampak bahawa “penyatuan” yang dijual selama ini mungkin cuma bertahan depan kamera sahaja.
Di belakang?
Penuh perebutan pengaruh, ego dan percaturan kuasa. PAS tuduh Bersatu mahu semua ikut telunjuk mereka. Bersatu pula sejak dulu ada kelompok cybertrooper yang suka melabel PAS sebagai parti “mullah”, jumud dan terlalu mengawal keputusan.
Maknanya apa?
Maknanya dalam gabungan sendiri pun mereka sebenarnya sudah tidak percaya antara satu sama lain. Satu pihak rasa dirinya lebih dominan. Satu pihak pula rasa dipergunakan untuk kekuatan akar umbi Melayu-Islam semata-mata. Yang rakyat nampak sekarang bukan lagi blok pembangkang yang bersedia mentadbir negara.
Tetapi dua parti yang semakin sibuk membuka aib sesama sendiri. PAS cuba tunjuk Bersatu kuat pecat orang. Bersatu pula selama ini cuba gambarkan PAS terlalu ekstrem dalam membuat keputusan.
Akhirnya kedua-duanya terkena balik. Sebab bila gaduh terbuka begini, rakyat mula bertanya: Kalau sesama sendiri pun tak boleh sepakat, macam mana nak urus negara? Kalau dalam mesyuarat sendiri penuh rasa curiga, macam mana nak bentuk kerajaan yang stabil? Kalau setiap keputusan akhirnya jadi perang ego, apa beza mereka dengan pihak yang selama ini mereka tuduh gagal?
Lebih teruk, pergaduhan ini membuka persepsi bahawa perjuangan mereka mungkin bukan sangat soal rakyat. Tetapi soal siapa lebih berkuasa dalam PN.
Siapa lebih dominan. Siapa lebih layak jadi “kepala”.
Dan apabila politik mula dipenuhi sindir menyindir, label melabel dan serangan sesama sendiri, rakyat tengah atas pagar biasanya akan mula menjauh.
Kerana rakyat sudah penat dengan politik yang terlalu banyak drama tetapi kosong penyelesaian.
Hakikatnya mudah,. Gabungan yang terlalu kuat bermain sentimen akhirnya akan kalah bila ego mula mengatasi matlamat.
Dan hari ini, PN nampaknya sedang bergerak ke arah itu.