Rindu Zaman BN… Jangan Tertipu Muslihat Burukkan Parti Yang Terbukti Trek Rekod

Oleh : BARD
November 19, 2025 - 14:00 MYT
Rindu Zaman BN… Jangan Tertipu Muslihat Burukkan Parti Yang Terbukti Trek Rekod

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Karambunai, Datuk Yakub Khan, mengingatkan seluruh pengundi agar tidak menjadikan pilihan raya sebagai medan untuk “cuba-cuba” atau membuat keputusan secara suka-suka, terutama dalam suasana politik yang penuh dengan muslihat dan permainan persepsi.

Beliau menegaskan, kesilapan memilih kerajaan pada masa lalu hanya kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu telah membawa kerugian besar kepada rakyat Sabah.

Menurut beliau, ketika BN mentadbir dahulu, ada pihak yang mengajak rakyat menukar kerajaan kononnya untuk mencari yang lebih baik daripada BN.

“Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan. Rupa-rupanya hujan tak turun, dan akhirnya yang rugi adalah rakyat,” katanya.

Kini, ujarnya, semakin ramai rakyat kembali merindukan pentadbiran BN, terutamanya pada era Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lantaran membawa pembangunan besar dan terancang kepada Sabah.

Justeru, dalam menghadapi PRN Sabah kini, beliau menegaskan bahawa walaupun terdapat banyak calon dan parti yang bertanding, rakyat perlu membuat penilaian berdasarkan rekod sebenar.

“Rujuk sejarah supaya tahu dalam kerajaan yang pernah memimpin Sabah ini dari USNO, Berjaya, PBS, BN, Warisan dan GRS… kerajaan manakah yang paling membawa pembangunan di Sabah ini?

“Di DUN Karambunai ini sahaja misalnya, terletaknya hub pendidikan yang semuanya ada, UMS, ILP, Politeknik, IKM dan sebagainya ada di Karambunai yang wujud atas usaha BN… bukan parti lain atau kerajaan lain tapi BN.

“Ketika UMNO masuk ke Sabah maka agenda pertama yang dilakukan ialah memikirkan masa depan pendidikan anak-anak kita iaitu UMS. Diwujudkan sebuah universiti di sini. Hub industri di sini juga dilakukan oleh BN, Pan Borneo dan jajaran jalan-jalan ke daerah-daerah pedalaman juga dilaksanakan BN.”

Yakub kemudian menegur pemimpin-pemimpin yang kini menyerang BN seolah-olah mereka bukan sebahagian daripada kerajaan BN pada masa lalu.

“Kerajaan yang kemudiannya asyik menyalahkan BN sedangkan mereka sebahagiannya menjadi pemimpin di sebelah sana hari ini adalah dari BN juga sebelumnya. Malah mereka yang menjadi menteri dan memainkan peranan.

“Kalau cakap BN gagal maka yang gagal itu adalah mereka. Sebab mereka yang memimpin ketika itu. Mereka tudun BN rasuah … betul ada yang melakukan ini tetapi semua sudah berpindah dan duduk sebelah sana sekarang kononnya ‘sucikan diri mereka’, dulu mereka dalam BN tak betul tapi sekarang mereka suci. Inilah yang berlaku.

“Mereka salahkan kerajaan dulu bawah BN sedangkan mereka lupa yang ada dalam kerajaan dulu sebahagiannya adalah mereka sendiri. Dulu masa jadi menteri kanan di bawah BN, langsung tidak bersuara. Hanya jaga kepentingan sendiri,” katanya, sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai muslihat politik untuk meraih sokongan.

Beliau juga mengingatkan anak muda khususnya pengundi 18 tahun agar tidak mudah percaya pada dakyah yang dimainkan pihak tertentu.

“Jangan biar diri terpedaya. Jangan besok menyesal setelah tersilap pilih. Lihat sejarah kepimpinan Sabah dari USNO, Berjaya, PBS, BN, Warisan dan GRS – kerajaan mana yang paling banyak membawa pembangunan? Jawapannya jelas adalah BN.”

Yakub turut menyeru rakyat Sabah supaya membuat keputusan dengan bijak, berdasarkan fakta dan rekod, bukan emosi atau janji sementara.

“Dalam pilihan raya ini, jangan percaya muslihat politik yang hanya mahu meraih undi. Berilah sokongan kepada BN iaitu parti yang terbukti membawa pembangunan, menjaga rakyat dan mempunyai rekod yang kukuh. Di mana ada BN, di situ ada masa depan Sabah.

“Selamat mengundi kepada seluruh rakyat Sabah, di mana sahaja anda berada. Jika BN diberi peluang menjadi kerajaan, kami akan membuktikan bahawa BN mampu membetulkan keadaan dan mengangkat Sabah ke tahap yang lebih baik,” katanya lagi. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow