Antara Bola Sepak, Sukan Dan Kehidupan
Tahniah Harimau Malaya atas kemenangan bergaya menentang Vietnam dalam perlawanan kelayakan Piala Asia AFC 2027 malam tadi. Setelah sebelas tahun menanti detik ini, akhirnya taring Harimau kembali diasah dan kali ini, ia mengaum tanpa kompromi.
Fenomena naturalisasi dan pemain warisan dalam skuad kebangsaan bukan sekadar percaturan taktikal di atas padang. Ia adalah cerminan kepada perubahan landskap bola sepak moden negara. Malaysia tidak lagi bersandarkan semata-mata kepada bakat yang dilahirkan di dalam sempadan geografinya. Nama-nama seperti Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Dion Cools dan La’Vere Corbin-Ong yang kini memakai jersi Malaysia sebagai pemain warisan membuktikan bahawa semangat juang tidak mengenal tempat lahir.
Namun, dalam setiap pujian, terselit persoalan. Apakah ruang untuk anak tempatan semakin sempit? Atau adakah ini sebenarnya satu bentuk perpaduan baharu Malaysia yang merentasi sempadan, diwakili oleh anak-anaknya dari serata dunia? Apa jua pandangan, yang jelas Harimau Malaya kini tampil lebih rencam, kompetitif dan selari dengan hakikat bola sepak global iaitu dunia sudah lama tidak bersempadan.
Dalam semangat ini, wajar juga kita menoleh ke negeri Pahang yang turut mencerminkan gagasan inklusif dan kesejahteraan menerusi inisiatif IM Pahang atau Ikhtiar Makmur Pahang. Program ini bukan sekadar slogan, ia adalah usaha berterusan kerajaan negeri dalam memartabatkan agama, pendidikan, kebajikan rakyat, dan pembangunan secara menyeluruh. Sebagai anak Pahang, kita punya sebab untuk berbangga. IM Pahang adalah cerminan kepimpinan yang memahami denyut nadi rakyat bukan sekadar retorik politik.
Maka tidak hairanlah apabila ada yang mempertikaikan cubaan pihak luar untuk ‘menawan’ Pahang. Kita sedia maklum akan slogan ‘PAS Tawan Pahang’, namun ironinya, individu yang diketengahkan, Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM), bukanlah anak jati Pahang. Adakah negeri ini terlalu gersang bakat tempatan hingga perlu menoleh kepada luar? Atau ini sekadar manifestasi keghairahan politik tanpa tapak yang kukuh?
Pahang tidak kekurangan pemimpin. Kita punya Menteri Besar, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, yang telah membuktikan keupayaannya dalam membawa kestabilan dan kemajuan. Di bawah kepimpinan beliau, Pahang kekal aman dan Makmur. Bukan sekadar pada nama, tetapi pada tindakan.
IM Pahang adalah bukti bahawa kepimpinan yang memahami asal usul, akar budaya, dan keperluan sebenar rakyat akan sentiasa mendahului retorik luar. Dan seperti Harimau Malaya yang telah bangkit dengan wajah baharu. Pahang terbukti berdasarkan prestasi ekonomi, perkembangan syiar Islam dan inisiatif yang menjaga kebajikan rakyat berbanding negeri-negeri SG 4 yang masih tergapai-gapai.
Nukilan
Nadia Rose
Mewangi Tapi Berduri
Apa Reaksi Anda?











