Hj Hadi Pegang 'Remote" Perikatan Nasional?
Perikatan Nasional (PN) sekali lagi mempamerkan wajah sebenar politik mereka. Di hadapan rakyat, mereka bercakap soal musyawarah, kepimpinan bersama dan semangat gabungan. Namun di belakang tabir, segala keputusan penting nampaknya hanya menunggu lampu hijau daripada seorang individu.
Apa yang berlaku semalam ini cukup menarik untuk diperhatikan.
Belum pun sempat Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menggalas peranan sebagai Ketua Pembangkang seperti yang diputuskan sebelum ini, jawatan itu seolah-olah "hilang" begitu sahaja. Dalam satu pengumuman yang mengejutkan ramai pihak, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang, manakala Ahmad Samsuri terus kekal sebagai Pengerusi PN.
Persoalannya, siapa sebenarnya membuat keputusan tersebut?
Lebih menarik, keputusan besar yang melibatkan struktur tertinggi PN itu diumumkan bukan oleh Pengerusi PN, bukan juga oleh Majlis Tertinggi PN, tetapi oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa struktur rasmi dalam PN hanyalah formaliti semata-mata. Jawatan boleh diberikan, jawatan boleh ditarik balik, dan keputusan boleh berubah tanpa perlu melalui proses yang jelas kepada umum.
Jika benar Ahmad Samsuri pernah dipersetujui sebagai Ketua Pembangkang, bagaimana beliau boleh "kehilangan" jawatan itu sebelum sempat memulakan tugas?
Jika benar PN mengamalkan keputusan secara kolektif, mengapa keputusan sebesar itu diumumkan secara unilateral?
Lebih memalukan, Ahmad Samsuri yang sering diangkat sebagai wajah masa depan PN akhirnya kelihatan seperti pemimpin yang sekadar memegang jawatan atas ihsan pihak lain. Gelaran Pengerusi PN yang diberikan kepadanya kini dilihat tidak membawa kuasa sebenar apabila keputusan strategik gabungan masih ditentukan oleh pihak lain.
Inilah dilema yang sedang menghantui PN.
Di satu pihak, mereka mahu menampilkan Ahmad Samsuri sebagai tokoh sederhana, profesional dan bakal pemimpin nasional. Namun di pihak yang lain, setiap kali berlaku isu besar, bayang-bayang Presiden PAS tetap muncul sebagai penentu akhir.
Hakikatnya, episod ini bukan sekadar soal siapa menjadi Ketua Pembangkang. Ia mendedahkan siapa yang benar-benar menguasai Perikatan Nasional.
Dalam politik moden, kuasa bukan diukur pada jawatan yang tertera di atas kertas. Kuasa diukur pada siapa yang mampu membuat keputusan dan siapa yang terpaksa akur kepada keputusan tersebut.
Dan berdasarkan apa yang berlaku hari ini, rakyat semakin jelas melihat bahawa dalam PN, terdapat satu pusat kuasa yang mengatasi semua struktur rasmi parti dan gabungan.
Ahmad Samsuri mungkin kekal sebagai Pengerusi PN. Tetapi persoalan yang semakin kuat diperkatakan ialah adakah beliau benar-benar memimpin PN, atau sekadar memegang jawatan sementara kuasa sebenar berada di tangan orang lain?
Apa Reaksi Anda?











