Pemuda UMNO Pahang Gerak Kempen Anti Buli di Sekolah

Oleh : BARD
September 2, 2025 - 12:24 MYT
Pemuda UMNO Pahang Gerak Kempen Anti Buli di Sekolah

Kejadian buli di sekolah sudah sampai ke tahap yang tidak boleh lagi dipandang ringan. Video dan laporan tentang pelajar dipukul, dihina dan ditekan rakan sebaya sering tular di media sosial. Setiap kali ia berlaku, ibu bapa bimbang, masyarakat marah, tetapi akhirnya isu itu seakan kembali senyap tanpa penyelesaian yang tuntas. Sampai bila sekolah yang sepatutnya menjadi medan ilmu dan tempat anak-anak membina masa depan terus dicemari dengan budaya ganas sebegini?

Pemuda UMNO Pahang tampil mengambil sikap tegas dengan menggerakkan kempen anti buli di sekolah-sekolah. Inisiatif yang diambil oleh Pergerakan Pemuda UMNO Pahang kerana tidak mahu berdiam diri melihat generasi muda terus menjadi mangsa buli.

Ketua Pemudanya, Ahmad Kamil bin Ibrahim berkata, kami akan segera menggerakkan Kempen Anti-Buli di sekolah-sekolah seluruh negeri Pahang. Ini bukan sekadar kempen bermusim, tetapi satu gerakan menyeluruh bagi memastikan budaya tidak bermoral itu dihentikan dari akar umbinya.

Kami percaya pencegahan tidak boleh dipikul sekolah seorang diri. Ia mesti melibatkan semua pihak seperti guru, ibu bapa, komuniti setempat dan juga pihak berkuasa. Anak-anak ini adalah amanah bangsa. Jika mereka rosak akibat buli, yang runtuh bukan sahaja masa depan mereka tetapi juga masa depan negara.

Kempen ini akan melibatkan program kesedaran, aktiviti motivasi, forum bersama ibu bapa serta usaha membina kepimpinan pelajar agar mereka berani menolak dan menentang budaya buli. Anak-anak kita mesti dibentuk menjadi generasi yang bukan sahaja pintar, tetapi juga berakhlak mulia, berani menegakkan kebenaran dan mampu melindungi rakan-rakan mereka daripada penindasan.

Sekolah kembali menjadi ruang ilmu yang selamat, harmoni dan penuh kasih sayang. Tidak ada seorang pun pelajar yang patut datang ke sekolah dengan rasa takut. Tidak ada seorang pun ibu bapa yang patut resah setiap kali menghantar anak ke sekolah kerana khuatir anak mereka dibuli.

Inilah janji Pemuda UMNO Pahang kami akan bangkit bersama rakyat, menjadi benteng melindungi generasi muda daripada budaya songsang buli yang merosakkan masa depan.

Sementara itu, Pemuda UMNO Negeri Pahang menzahirkan rasa kesal dan dukacita terhadap insiden yang menimpa adik Zara Qairina. Peristiwa ini bukan sekadar satu kes terpencil, tetapi menjadi cerminan bahawa budaya buli telah lama berakar dan sedang merosakkan persekitaran pendidikan kita. Fenomena ini tidak boleh lagi dipandang remeh kerana ia berupaya membunuh keyakinan, merencatkan bakat, serta menghancurkan masa depan generasi muda.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow