Tiga termasuk timbalan pengerusi NGO ditahan kes seleweng dana zakat RM230 juta
Tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditahan pada Selasa kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Menurut sumber, dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an telah ditahan antara jam 3 dan 5 petang dalam operasi yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Lembah Klang.
Sementara seorang lagi berusia lingkungan 50-an ditahan jam 2 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.
“Siasatan awal mendapati, kesemua suspek yang juga dua daripadanya merupakan pengarah syarikat disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2018 hingga 2024.
“Siasatan turut mendapati timbalan pengerusi NGO tersebut telah memindahkan RM230 juta tersebut ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan peribadi,” katanya.
Kata sumber, siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan.
Tambah sumber, dalam operasi tersebut, SPRM turut menyita 18 unit kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes.
Selain itu, hartanah bernilai kira-kira RM11 juta, pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama turut disita.
"Selain itu, SPRM turut membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
"Kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor hari ini untuk permohonan reman," ujarnya.
Apa Reaksi Anda?











