Rumah Bangsa Jadi Pemangkin Penyatuan Semula Kekuatan UMNO

Oleh : BARD
April 22, 2026 - 11:00 MYT
Rumah Bangsa Jadi Pemangkin Penyatuan Semula Kekuatan UMNO

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Nasrun Nasaruddin menyifatkan Rumah Bangsa sebagai langkah terbaik dilakukan kepimpinan parti bagi memperkukuh parti keramat ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju berkata gagasan ini menjadi ruang untuk merawat perpecahan lama serta mengembalikan semula kesatuan dalam kalangan ahli dan penyokong parti.

“Gagasan Rumah Bangsa yang sedang dibawa oleh pimpinan adalah satu usaha besar untuk menyatukan kembali kekuatan yang pernah terpisah.

“Ia adalah ruang untuk kita merawat luka lama, merapatkan saf yang renggang, dan mengajak kembali “anak-anak” perjuangan ini ke dalam satu rumah yang sama.

“UMNO mesti menjadi rumah yang menyatukan, bukan memecahkan. Rumah yang mengajak kembali, bukan menolak. Rumah yang memulihkan, bukan menghukum.

“Inilah masanya untuk kita bangkit bukan sebagai kelompok yang berpecah, tetapi sebagai satu penyatuan yang kuat demi masa depan bangsa dan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas berkenaan sambutan ulang tahun UMNO ke-80, beliau berkata parti ini ditubuhkan sebagai wadah perjuangan yang dibina atas dasar Perlembagaan yang jelas iaitu agama, bangsa dan tanah air.

Katanya meskipun kini berhadapan dengan dinamika politik, asas perjuangan tersebut tidak pernah pudar kerana UMNO kekal konsisten menjadi suara rakyat.

“Walau berada dalam kerajaan pada hari ini, perjuangan UMNO tidak boleh luntur. Kita mesti terus menjadi suara kepada rakyat, pembela kepada bangsa, dan benteng kepada agama dan negara.

“Kita akui, UMNO telah melalui fasa kejatuhan, fasa pemulihan, dan kini berada dalam fasa penyembuhan. Hari ini, kita sedang mengorak langkah untuk meraih kembali keyakinan rakyat.

“Walaupun hanya diwakili oleh lapan orang menteri, prestasi yang ditunjukkan membuktikan bahawa UMNO masih mempunyai barisan kepimpinan yang berwibawa, berpengalaman dan mampu mentadbir dengan lebih baik daripada yang lain.

“Insya-Allah, dengan keberanian untuk berubah, kesediaan untuk memperbaiki diri, dan kesungguhan untuk menyesuaikan perjuangan dengan peredaran zaman, tidak mustahil UMNO akan kembali dominan di Dewan Rakyat,” ujar beliau. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow