PAS Jangan Malas Membaca, UMNO Sudah Lama Memartabatkan Orang Asli

Kenyataan PAS Pahang yang mengatakan Orang Asli di Pahang dijadikan oleh ORACO adalah suatu kenyataa jahat bagi memberi imej negatif kepada UMNO Pahang. Dalam landskap politik yang semakin sarat dengan persepsi dan permainan emosi, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk kembali kepada fakta dan pencapaian sebenar. Terdapat kecenderungan dalam kalangan sesetengah pihak, khususnya daripada PAS, untuk mendabik dada kononnya mereka sahaja yang memperjuangkan masyarakat Orang Asli.
Namun hakikatnya, UMNO dan Barisan Nasional Pahang telah lama membuktikan keprihatinan dan komitmen tulen dalam mengangkat martabat komuniti ini. Bukan sekadar dalam ucapan, tetapi melalui tindakan dan pelaksanaan dasar yang nyata.
Salah satu bukti paling jelas ialah pelantikan Dato’ Ramli Mohd Nor, Naib Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen yang mewakili kawasan majoriti Orang Asli. Pelantikan beliau ke jawatan setinggi itu bukan sahaja bersejarah, tetapi membuktikan keterbukaan UMNO dalam memberikan ruang kepada masyarakat Orang Asli untuk berada di barisan kepimpinan tertinggi negara. Datuk Ramli juga telah dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi mewakili masyarakat Orang Asli.
Ini bukan simbolik kosong, ia adalah pengiktirafan kepada kemampuan dan suara komuniti yang selama ini terpinggir oleh sesetengah pihak yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.
Di Dewan Negara pula, Saudara Shahrol Wizan Sulong, seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Krau, telah dilantik sebagai Senator. Beliau bukan sekadar ahli politik, tetapi juga seorang pendakwah yang aktif menyantuni dan membimbing masyarakat Orang Asli dalam aspek kerohanian dan pendidikan Islam. Pelantikan beliau memperkukuh lagi bukti bahawa UMNO tidak meminggirkan komuniti ini, malah membuka ruang kepada tokoh-tokoh berkaliber daripada kalangan mereka untuk memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negara.
Malangnya, usaha-usaha ini cuba diputar belit oleh pemimpin dari PAS yang dengan mudah menyebarkan maklumat tidak tepat, termasuklah menyamakan ORACO dengan agensi kerajaan Persekutuan. Ini menunjukkan betapa ceteknya pemahaman mereka, atau lebih buruk lagi, betapa jauhnya mereka sanggup memanipulasi fakta demi keuntungan politik sempit. Perlu ditegaskan bahawa ORACO tidak ada kaitan dengan kerajaan Persekutuan, ia adalah entiti milik penuh kerajaan negeri Pahang yang dikendalikan sepenuhnya oleh anak jati negeri ini.
Rakyat hari ini bukan lagi buta terhadap permainan politik. Mereka menilai berdasarkan rekod, bukan retorik. Dan rekod UMNO serta Barisan Nasional Pahang dalam memperjuangkan nasib masyarakat Orang Asli adalah jelas, konsisten, dan berakar umbi dalam tindakan, bukan sekadar janji manis di atas pentas ceramah.
Sebagai rakyat Malaysia, kita harus meraikan setiap pencapaian yang membawa kebaikan kepada semua kaum, termasuk komuniti Orang Asli yang telah lama menjadi sebahagian penting dalam sejarah dan warisan negara. Politik tidak seharusnya menjadi medan untuk menabur fitnah atau memperbodohkan rakyat dengan cerita dongeng. Sebaliknya, biarlah ia menjadi wadah untuk bersaing secara sihat, berasaskan integriti dan pencapaian yang sebenar.
UMNO dan Barisan Nasional Pahang akan terus komited dalam memperjuangkan nasib masyarakat Orang Asli bukan untuk meraih undi, tetapi sebagai tanggungjawab moral dan politik yang telah lama kami pegang, dan akan terus kami junjung.
Apa Reaksi Anda?






