Iran bersedia hadapi perang hingga enam bulan
Iran bersedia untuk menghadapi kemungkinan perang berpanjangan sehingga enam bulan atau lebih ketika rundingan damai di Islamabad, Pakistan, gagal mencapai sebarang persetujuan.
Menurut sumber dalam negara dan penganalisis geopolitik, Teheran kini memperkukuh keupayaan ketenteraan termasuk pengeluaran peluru berpandu dan dron secara besar-besaran di kemudahan rahsia yang dibina di dalam kawasan pergunungan bagi mengelakkan pengesanan satelit serta pesawat pengintip.
Seorang penganalisis geopolitik berpangkalan di Teheran, Ali Ahmadi, yang juga pernah menjadi penasihat Kementerian Luar Iran berkata, negara itu telah membangunkan asas industri ketenteraan yang besar untuk memastikan kesinambungan peperangan jika diperlukan.
“Iran telah membina asas industri yang sangat besar khusus untuk menghasilkan peralatan ketenteraan bagi memastikan ia mampu terus berperang,” katanya kepada The Straits Times.
Beliau menambah, kebimbangan utama Iran bukanlah tempoh perang yang berpanjangan, sebaliknya kemungkinan konflik akan berhenti seketika sebelum disambung semula apabila pihak lawan memperkukuh strategi baharu.
“Dari sudut pandang Iran, kebimbangan bukan perang yang berlarutan. Kebimbangan mereka ialah perang berhenti dan kemudian bermula semula enam bulan kemudian apabila AS sudah bersedia dengan strategi baharu,” katanya.
Seorang pegawai antarabangsa yang enggan dinamakan, berpangkalan di Teheran berkata, beliau dimaklumkan oleh sumber dalam Republik Islam itu bahawa Iran mampu bertahan sekurang-kurangnya sehingga September sekiranya konflik berterusan.
“Tiada kekurangan bekalan,” katanya sambil menambah Iran telah merancang senario ini lebih awal termasuk memiliki stok makanan yang mencukupi untuk menampung populasi selama kira-kira enam bulan.
Beliau turut menegaskan Iran bersedia untuk konflik jangka panjang.
Menurut laporan, strategi ketenteraan Iran banyak bergantung kepada rangkaian 'bandar peluru berpandu' yang dibina di kawasan pergunungan, di mana peluru berpandu, roket dan kemudahan pemasangan disimpan secara tersembunyi.
Kemudahan ini dipercayai turut menempatkan kilang pengeluaran yang membolehkan Iran menggantikan senjata yang musnah tanpa dikesan oleh teknologi pengawasan moden.
Ali Ahmadi berkata, beberapa kemudahan tersebut turut mempunyai keupayaan pengeluaran lengkap di bawah tanah.
“Ia sebahagian daripada proses pembangunan Iran sejak sekian lama,” katanya.
Beliau mendakwa selepas konflik 12 hari sebelum ini, Iran mempercepatkan pemindahan rangkaian pengeluaran senjata ke bawah tanah bagi melindunginya daripada serangan udara.
Ketahanan perang dan kapasiti senjata
Penganalisis menganggarkan Iran memiliki sekitar 2,000 peluru berpandu jarak sederhana yang mampu mencapai Israel, selain stok lebih besar peluru berpandu jarak dekat untuk sasaran di rantau Teluk serta pangkalan tentera AS.
Selain itu, dron jenis Shahed yang dimiliki Iran turut dianggap sebagai aset penting dalam strategi peperangan negara itu.
Bagaimanapun, pakar memberi amaran bahawa peningkatan pengeluaran senjata mungkin menjejaskan kualiti, dengan beberapa peluru berpandu dilaporkan gagal mencapai sasaran dalam fasa kemasukan semula atmosfera.
Seorang penganalisis bebas, Patricia Marins, berkata Iran kini menghasilkan dan membaik pulih peluru berpandu secara serentak.
“Iran boleh mengekalkan kadar ini untuk beberapa minggu,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berpendapat AS dan Israel juga berdepan kekangan stok peluru dan sistem pertahanan.
Apa Reaksi Anda?











