Felda Sahabat Menjadi Mercu Tanda Kebangkitan BN

Oleh : BARD
November 26, 2025 - 11:00 MYT
Felda Sahabat Menjadi Mercu Tanda Kebangkitan BN

Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan tarikh 29 November sebagai detik penting yang bakal menjadi ‘game changer’ kepada warga peneroka Felda, khususnya di Felda Sahabat, Lahad Datu.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perlunya perubahan besar dalam kalangan pengundi Felda, memandangkan sebahagian kawasan peneroka tidak bersama kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Kita tahu Felda di seluruh negara memiliki 317 kawasan peneroka tapi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tidak bersama kita, maka Felda Sahabat akan menjadi mercu tanda kepada kebangkitan semula sokongan warga peneroka terhadap kerajaan.

“Oleh kerana kesinambungan ini penting bagi pengundi di Lahad Datu sama ada di Tunku, Silam atau Kunak, kita perlu membuktikannya, bukan sekadar bernostalgia tetapi menunjukkan bahawa kita bersama dengan ‘establishment’ Felda,'” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Program Permuafakatan Komuniti Felda Wilayah Sahabat di Felda Sahabat, Lahad Datu.

Seterusnya Presiden UMNO itu turut mengimbau kembali pengalamannya ketika Operasi Lahad Datu sewaktu memegang portfolio Menteri Pertahanan sambil menegaskan bahawa akan terus mempertahankan negara ini.

“Saya mempertahankan setiap inci bumi Sabah, ini adalah tanggungjawab bersama bukan hanya dipikul tentera dan polis, tetapi seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan kepentingan kesinambungan pentadbiran yang stabil, khususnya kepada pengundi di Tunku, Silam dan Kunak, sambil menyatakan keyakinan terhadap tiga calon yang diketengahkan BN di kawasan tersebut.

“Kami telah meletakkan tiga calon BN dan Insya-Allah boleh beri perkhidmatan yang terbaik sama ada di Tungku, Silam dan Kunak. Mudah-mudahan memperoleh kejayaan nanti,” tegasnya.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow