Semua Agensi Diarah Siap Siaga Hadapi Gelombang Banjir Luar Biasa

Oleh : BARD
November 27, 2025 - 09:00 MYT
Semua Agensi Diarah Siap Siaga Hadapi Gelombang Banjir Luar Biasa

Malaysia kini berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum berikutan peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir susulan cuaca luar biasa yang melanda rantau Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), memaklumkan bahawa sebanyak 188 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negara setakat ini, melibatkan seramai 20,000 mangsa yang telah dipindahkan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, berkata semua agensi terlibat telah diarahkan untuk berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya.

“Kini terdapat 188 PPS yang telah dibuka di seluruh negara dan terdapat 20 ribu mangsa banjir yang telah dipindahkan. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara telah mengarahkan kesiapsagaan seluruh agensi-agensi yang terlibat.

“Kita telah menyediakan sebanyak 9,058 PPS di seluruh negara. Tujuannya jika berlaku keadaan banjir yang teruk. PPS tersebut boleh menempatkan 2,189 juta mangsa banjir. Kita berdoa agar ianya tidak berlaku banjir yang teruk, namun, harus bersiapsiaga.

“Pada kali ini di Vietnam dan Filipina mengalami hujan yang sangat luar biasa. Jadi di utara Semenanjung dan pantai timur Semenanjung, badai ini telah menyebabkan kawasan-kawasan yang tidak pernah berlaku banjir pun termasuk di kawasan saya, Bagan Datuk pun turut terdapat empat PPS yang telah dibuka. Selama berpuluh tahun tidak ada banjir di kawasan itu,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Eksplorasi TVET Komuniti, Tawau. 

Beliau juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menasihati seluruh pengundi Sabah agar membuat perancangan awal pada hari pengundian.

“Saya harap pada 29 November nanti, memohon kepada semua pengundi-pengundi Sabah, keluarlah diawal pagi kerana MetMalaysia membuat unjuran bahawa angin yang membawa hujan ini akan bermula tengahari hingga petang.

“Oleh itu harap pengundi-pengundi di Sabah ini keluar mengundi pada waktu pagi,” ujarnya. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow