Israel perhebatkan serangan, darat, udara di selatan Gaza

Oleh : PAHANGKU
Disember 5, 2023 - 10:27 MYT
Israel perhebatkan serangan, darat, udara di selatan Gaza
Tentera Israel menyusup masuk lebih jauh ke dalam Semenanjung Gaza bagi memburu pejuang Hamas. - Foto REUTERS

GAZA: Serangan udara sengit Israel di selatan Semenanjung Gaza semalam membunuh dan mencederakan puluhan rakyat Palestin termasuklah mereka di kawasan diarah Israel mencari perlindungan, kata penduduk dan wartawan.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, merayu Israel menghentikan serangan yang memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza dan membebaskan orang awam daripada lebih banyak penderitaan.

"Bagi orang yang diarahkan berpindah, tidak ada tempat yang selamat untuk dituju dan sangat kurang peluang untuk terus hidup," kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.

Sekutu terdekat Israel, Amerika Syarikat (AS), sudah berulang kali menggesa orang awam diberi lebih perlindungan dan berkata serangan Israel di selatan tidak seharusnya berulang dengan 'jumlah orang awam yang besar' menjadi mangsa seperti di utara.

Tentera Israel menyusup masuk lebih jauh ke dalam Semenanjung Gaza bagi memburu pejuang Hamas. - Foto REUTERS
Lelaki Palestin yang cedera akibat serangan bom tentera Israel diusung memasuki hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Pihak berkuasa kesihatan Gaza, berkata kira-kira 900 orang terbunuh dalam serangan udara Israel sejak gencatan senjata berakhir pada Jumaat.

Awal semalam, Israel juga mengarahkan rakyat Palestin meninggalkan sebahagian bandar utama selatan Gaza, Khan Younis.

Namun penduduk berkata, kawasan yang mereka diarahkan untuk pergi juga berdepan serangan.

Tentera Israel menyiarkan peta di platform media sosial X dengan kira-kira satu perempat daripada Khan Younis ditandai dengan warna kuning sebagai wilayah yang mesti berpindah segera.

Tiga anak panah menghala ke selatan dan barat, mengarahkan orang ramai untuk menuju ke arah pantai Mediterranean dan ke arah Rafah, sebuah bandar utama berhampiran sempadan Mesir.

Penduduk Gaza yang terdesak di Khan Younis mengemas barang-barang mereka dan menuju ke Rafah. Kebanyakannya berjalan kaki, berjalan melepasi bangunan yang musnah dalam gerakan yang bersungguh-sungguh dan senyap.

Ketua agensi PBB bagi pelarian Palestin di Gaza (UNRWA), Thomas White, berkata penduduk di Rafah sendiri terpaksa melarikan diri.

"Orang ramai merayu untuk mendapatkan nasihat mengenai tempat yang selamat. Kami tidak mempunyai apa-apa untuk diberitahu kepada mereka," katanya di X.

Tentera Israel beroperasi di Semenanjung Gaza di tengah-tengah konflik berterusan di antara Israel dan Hamas. - Foto Reuters

Di bahagian utara wilayah itu, agensi berita rasmi Palestin, WAFA berkata, sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dalam serangan udara Israel di dua sekolah yang melindungi orang yang kehilangan tempat tinggal di kejiranan Daraj di Bandar Gaza.

Kementerian kesihatan Gaza bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataan mengenai laporan itu malah tiada pengesahan secara bebas dengan segera.

Jurucakap tentera Israel berkata, mereka kini sedang meneliti laporan itu.

Dalam laporan berasingan, Kementerian Kesihatan berkata, sekurang-kurangnya 15,899 rakyat Palestin, dengan 70 peratus daripadanya wanita atau bawah 18 tahun, kini terbunuh dalam pengeboman Israel di kawasan yang diperintah Hamas dalam lapan minggu peperangan.

Ribuan lagi juga dilaporkan hilang dan dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan bangunan. - REUTERS

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow