Guru rugi RM270,000 ditipu pelaburan saham tidak wujud

Oleh : PAHANGKU
Disember 5, 2023 - 13:32 MYT
Guru rugi RM270,000 ditipu pelaburan saham tidak wujud
Gambar Hiasan

SERIAN: Seorang guru kerugian RM270,000 akibat diperdaya dengan pelaburan saham tidak wujud di laman sosial.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata guru wanita berusia 40-an itu tertarik dengan satu iklan pelaburan saham di laman Facebook dan kemudiannya berurusan dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Chryseis.

Beliau berkata, mangsa dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp atas nama A80 dengan diminta mengikuti kelas melalui laman sesawang vip.asd41.com/rk pada setiap Isnin, Khamis atau Ahad untuk belajar cara-cara membuat pelaburan.

Katanya, mangsa turut diarahkan memuat turun satu aplikasi melalui pautan yang diberikan, dan bagi tujuan pendaftaran mangsa memuat naik gambar kad pengenalan dalam aplikasi itu.

"Mangsa yang berminat selepas ditawarkan keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap kali membuat pelaburan kemudian melakukan sembilan transaksi pindahan wang secara berperingkat dari pertengahan hingga hujung November kepada dua akaun bank berbeza berjumlah kira-kira RM270,000.

"Selepas mangsa membuat transaksi, dia akan menjual atau membeli saham menggunakan aplikasi berkenaan dan melalui aplikasi itu juga, mangsa dapat melihat turun naik saham yang dibeli," katanya.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.

Mancha berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila pada 29 November lalu mendapati wang dalam akaun aplikasi berkenaan tidak dapat dipindahkan ke dalam akaun bank simpanannya.

"Mangsa yang kemudiannya membuat semakan dengan syarikat Shroders Singapore turut diberitahu bahawa syarikat itu tidak menyediakan perkhidmatan jual beli saham.

"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya. - SUMBER

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow