MRSM Peroleh Keputusan Cemerlang SPM,MARA Komited Perkasa Pendidikan

Oleh : BARD
April 15, 2026 - 12:00 MYT
MRSM Peroleh Keputusan Cemerlang SPM,MARA Komited Perkasa Pendidikan

Majlis Amanah Rakyat (MARA) komited memperkasa pendidikan untuk membina generasi masa depan, kata Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, pencapaian MARA menerusi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) baru-baru ini mencipta sejarah besar.

“Alhamdulillah, saya telah bersama warga MRSM dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM 2025 di Premiera Hotel, Menara MARA, Kuala Lumpur. Malam ini bukan sekadar meraikan keputusan peperiksaan, tetapi menghargai seluruh ekosistem pendidikan MARA yang telah melahirkan generasi cemerlang.

“Lebih bermakna, pencapaian ini mencipta sejarah besar sebagai hadiah teristimewa sempena 60 tahun MARA apabila buat pertama kali dalam 54 tahun MRSM, kita berjaya menempatkan MRSM dalam kelompok 5 terbaik negara dalam SPM.

“Selain kejayaan seramai 80 pelajar berjaya memperoleh keputusan A+ (straight A+) dalam semua subjek yang diambil, kejayaan MRSM Ulul Albab terus menyerlah apabila empat MRSM berada dalam kelompok sepukuh terbaik negara, termasuk MRSM Gemencheh, MRSM ATM Bera, MRSM Bagan Datuk dan MRSM Kota Putra.

“Seramai sembilan pelajar memperoleh 10A+ dan 158 pelajar mencatatkan ‘straight A’, mencerminkan manifestasi sebenar generasi Ulul Albab yang cemerlang dalam akademik, teguh dalam sahsiah dan seimbang antara ilmu duniawi serta ukhrawi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sehingga membolehkan MRSM memperoleh pencapaian membanggakan tersebut.

“Namun di sebalik kejayaan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan bukan sahaja kepada Pengurusan MARA, Bahagian Pendidikan Menengah MARA, para pengetua dan guru-guru, malah kepada seluruh warga MRSM yang sering tidak disebut tetapi memainkan peranan besar.

“Terima kasih kepada warden, kakitangan pentadbiran, pekerja dewan selera yang memastikan anak-anak kita sentiasa terjaga kebajikan makan minum mereka; petugas kebersihan yang menjaga persekitaran kondusif untuk belajar; pengawal keselamatan yang memastikan keselamatan sentiasa terpelihara dan semua yang bekerja di belakang tabir.

“Tahniah kepada seluruh pelajar MRSM atas pencapaian cemerlang. Semoga ini menjadi pemangkin untuk terus melakar kejayaan lebih besar. Insya-Allah, MARA akan terus komited memperkasa pendidikan dalam membina generasi masa depan yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing,” katanya lagi. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow