Anak keluar lewat malam: Kebebasan atau risiko
Ketika pulang dari tempat kerja, penulis kerap terserempak sekumpulan remaja dan kanak-kanak yang masih ligat menunggang basikal di jalan utama kawasan perumahan.
Mereka berbual dan bergelak ketawa, seolah-olah malam masih panjang untuk diterokai walaupun jam telah melepasi tengah malam.
Situasi ini mungkin kelihatan biasa, namun hakikatnya mengundang persoalan penting: sejauh mana kebebasan ini benar-benar selamat?
Realitinya, kehidupan hari ini jauh berbeza berbanding dahulu. Ramai ibu bapa berdepan tuntutan kerja yang panjang. Dalam keadaan sedemikian, mengawasi pergerakan anak-anak bukan sesuatu yang mudah.
Akibatnya, ada anak-anak dibiarkan bermain di luar atau berada di luar rumah lebih lama daripada kebiasaan. Walaupun keadaan ini boleh difahami, aspek keselamatan tidak seharusnya dipandang ringan atau dikompromi.
Jika diimbau, generasi terdahulu dibesarkan dengan peraturan yang jelas iaitu pulang ke rumah sebelum waktu Maghrib. Peraturan ini mungkin dianggap tegas, namun di sebaliknya tersirat tujuan utama iaitu memastikan anak-anak sentiasa berada dalam persekitaran yang selamat.
Budaya remaja keluar dan melepak hingga lewat malam bukan sekadar isu bagaimana mereka mengisi masa lapang. Ia membuka ruang kepada pelbagai risiko yang kadangkala tidak disedari.
Jika diimbau kembali, kita pernah dikejutkan tragedi pada 18 Februari 2017 di Johor Bahru, apabila lapan remaja lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun maut selepas dirempuh sebuah kenderaan. Peristiwa ini menjadi peringatan keadaan yang kelihatan biasa boleh bertukar menjadi tragedi sekelip mata.
Selain risiko kemalangan, anak-anak yang berada di luar tanpa pengawasan turut terdedah pelbagai ancaman lain seperti jenayah, penyalahgunaan dadah dan pengaruh negatif rakan.
Dalam era digital, cabaran ini menjadi lebih kompleks apabila pergaulan tidak lagi terhad kepada dunia fizikal, malah melangkaui alam maya yang sukar dipantau.
Statistik semasa turut menunjukkan perkembangan membimbangkan. Menurut laporan pihak berkuasa, kes jenayah melibatkan kanak-kanak dan remaja di negara ini mencatatkan peningkatan ketara, termasuk kenaikan 26.5 peratus bagi kes seksual pada 2023 dengan 1,567 kes berbanding tahun sebelumnya.
Kes amang seksual fizikal, pornografi serta gangguan dalam talian turut meningkat, manakala kes juvana melibatkan dadah, kecurian dan keganasan terus menjadi isu serius.
Dari sudut perundangan pula, tanggungjawab melindungi anak-anak bukan sekadar kewajipan moral. Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) memperuntukkan tindakan terhadap ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan kebajikan anak-anak, termasuk hukuman denda dan penjara.
Hakikatnya, pendekatan keibubapaan mungkin berubah mengikut peredaran zaman, namun prinsip asas tetap sama iaitu anak-anak memerlukan bimbingan, perhatian dan perlindungan. Ia bukan soal menyekat kebebasan, tetapi memastikan mereka membesar dalam persekitaran selamat dan seimbang.
Justeru, usaha menangani isu ini memerlukan kerjasama semua pihak. Ibu bapa perlu menetapkan had yang jelas terhadap pergerakan anak-anak, penduduk setempat wajar lebih peka dan saling mengambil berat, manakala pihak berkuasa boleh memperkukuh pemantauan keselamatan di kawasan perumahan.
Isu anak-anak keluar lewat malam bukan sekadar soal disiplin, tetapi cerminan sejauh mana masyarakat menilai tanggungjawab terhadap generasi muda.
Apa Reaksi Anda?











