‘Salah Guna Kuasa Exco Terengganu Bukan Isu Peribadi, Gugat Kredibiliti Kerajaan Negeri’

Oleh : BARD
Februari 27, 2026 - 11:00 MYT
‘Salah Guna Kuasa Exco Terengganu Bukan Isu Peribadi, Gugat Kredibiliti Kerajaan Negeri’

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Mohd Hafiz Aziz, menyifatkan pertuduhan yang dihadapi seorang exco kerajaan negeri berhubung dakwaan salah guna kuasa baru-baru ini sebagai perkara serius yang wajar diberi perhatian.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus berkata ini kerana perkara tersebut secara langsung menyentuh kredibiliti institusi kerajaan negeri dan kepercayaan rakyat.

“Kita tidak boleh menutup mata terhadap implikasi moral dan pentadbiran daripada kes ini.

“Apabila seorang anggota pentadbiran negeri berdepan pertuduhan berkaitan salah guna kedudukan, ia bukan lagi isu peribadi tetapi menyentuh kredibiliti kerajaan negeri secara keseluruhan.

“Sebagai rakyat negeri Terengganu, kita berhak mendapat penjelasan adakah wujud konflik kepentingan yang tidak diurus dengan telus?

“Isu ini bukan soal individu semata-mata, tetapi soal integriti institusi. Kepercayaan rakyat adalah aset paling berharga. Ia tidak boleh dikompromi,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Mohd Hafiz menegaskan pihaknya tidak akan mendahului keputusan mahkamah, namun menyifatkan kes berkenaan wajar dijadikan peringatan kepada semua pihak bahawa amanah yang digalas dalam jawatan awam merupakan tanggungjawab besar yang menuntut integriti tinggi dalam pentadbiran.

Dalam masa sama, beliau menyatakan sokongan terhadap prinsip ketelusan dan menegaskan kepentingan memberi ruang sepenuhnya kepada sistem kehakiman untuk menjalankan tugas tanpa sebarang gangguan.

“Integriti dalam pentadbiran bukan pilihan, tetapi kewajipan. Saya menyokong ketelusan dan memberi ruang kepada sistem kehakiman menjalankan tugas tanpa gangguan.

“Setiap individu berhak mendapat perbicaraan yang adil dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Kita serahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan kebenaran berdasarkan fakta dan undang-undang,” ujar beliau.

Terdahulu, media melaporkan seorang Exco Terengganu disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya sebagai anggota exco serta Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat bagi mengarahkan kedua-dua anaknya dilantik bekerja di dua anak syarikat milik kerajaan negeri.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara tahun 2018 hingga 2020. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow