Warga Kemboja ditahan Perhilitan Pahang

Oleh : BARD
Jun 27, 2024 - 12:07 MYT
Warga Kemboja ditahan Perhilitan Pahang

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang menahan tiga lelaki warga asing di Hutan Simpan Berkelah di sini pada Selasa.

Pengarahnya, Rozidan Md Yasin berkata, tiga lelaki warga Kemboja berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun itu ditahan dalam operasi membanteras pemburuan hidupan liar oleh Pasukan Taktikal Khas (SPARTA) jabatan tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas khemah warga asing tersebut menemui beberapa utas jerat dan bahagian hidupan liar serta peralatan kerja dipercayai digunakan untuk mengambil hasil hutan.

"Ketiga-tiga lelaki tersebut direman selama tujuh hari sejak Rabu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)/ Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar beliau, kerajaan komited untuk melindungi dan memelihara khazanah negara daripada sebarang ancaman jenayah.

"Orang ramai diminta untuk menyalurkan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar kepada Pejabat Perhilitan terdekat atau melalui talian hotline, 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," tambahnya.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow