Pahang laksana dasar kerja dari rumah dua hari seminggu
Kerajaan Pahang akan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) selama dua hari seminggu secara giliran bagi penjawat awam negeri berkuat kuasa mulai minggu hadapan.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat (MMK) negeri selepas mengambil kira keluh-kesah rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Menurutnya, langkah berkenaan merupakan usaha prihatin kerajaan negeri dalam membantu mengurangkan beban kos harian yang ditanggung rakyat, termasuk kos perjalanan, bahan api, tol, makan minum serta keperluan pengurusan keluarga.
“Pelaksanaan dasar ini akan dibuat secara tersusun dan berjadual tanpa menjejaskan kecekapan operasi serta sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah di sini semalam.
Beliau menjelaskan, semua ketua jabatan dan agensi akan menyelaras pelaksanaan tersebut berdasarkan keperluan perkhidmatan serta fungsi jabatan masing-masing.
Menteri Besar berharap penjawat awam negeri terus mengekalkan disiplin, integriti, dan produktiviti yang tinggi.
"Dasar ini (BDR) akan ditentukan berdasarkan keadaan semasa dan boleh disemak semula apabila keadaan kembali pulih.
"Kita sudah ada pengalaman melaksanakan pendekatan serupa semasa pandemik Covid-19 dahulu, jadi prosedurnya lebih kurang sama dengan beberapa penambahbaikan," tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut menggalakkan pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun serta majikan lain di negeri ini untuk mempertimbangkan pendekatan kerja lebih fleksibel, termasuk bekerja dari rumah sekiranya bersesuaian dengan operasi dan keperluan organisasi masing-masing.
Menurut beliau, pelaksanaan dasar itu diyakini mampu memberi kelegaan kepada rakyat yang bekerja di samping mewujudkan suasana kerja lebih seimbang, produktif dan responsif terhadap cabaran semasa.
“Kerajaan negeri percaya langkah ini mampu memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang bekerja,” katanya.
Apa Reaksi Anda?











