Pahang Perkenal Beras Prebiotik Pertama di Malaysia

Oleh : BARD
Ogos 18, 2025 - 09:00 MYT
Pahang Perkenal Beras Prebiotik Pertama di Malaysia

Pahang mencipta sejarah apabila muncul sebagai negeri pertama di Malaysia memperkenalkan beras prebiotik di bawah jenama Beras Pahang, yang bakal memasuki pasaran sepenuhnya September ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, produk inovatif itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri mengangkat industri padi dan beras melalui teknologi serta nilai tambah.

“Beras Pahang bukan beras biasa, ia beras prebiotik tanpa gula, sesuai untuk pesakit diabetes dan pertama seumpamanya di negara ini,” jelas beliau pada pelancaran Beras Pahang sempena Mini MAHA Pahang 2025 di Temerloh.

Beras tersebut ditanam di Kampung Paya Telok Ganchong, Pekan seluas 161 hektar menggunakan varieti 269, dan akan diedarkan di Pasaraya Darul Makmur (PDM) seluruh negeri. Selain kaya serat dan rendah indeks glisemik, beras ini juga lebih wangi serta lembut berbanding biasa.

Pada peringkat awal, pasaran difokuskan di Pahang sebelum diperluaskan ke negeri lain mengikut pengeluaran dan permintaan.

Dalam pada itu, Mini MAHA Pahang 2025 mencatat sambutan luar biasa dengan hampir 100,000 pengunjung dalam tiga hari, jauh melepasi sasaran 50,000. Menurut Wan Rosdy, kejayaan itu mendorong kerajaan negeri untuk menganjurkan MAHA penuh setiap tahun di lokasi berbeza.

“Inilah peluang mempromosikan produk pertanian unik Pahang yang tiada tandingan di negeri lain,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow