Lelaki bakar diri, kekasih hidup-hidup dekat plaza tol
Seorang lelaki bertindak menarik kekasihnya keluar dari sebuah bas dan membakar dirinya serta wanita itu hidup-hidup berhampiran Plaza Tol Simpang Renggam di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada jam 5.46 pagi yang memaklumkan mengenai kebakaran kereta di lokasi tersebut.
"Siasatan awal mendapati suspek berusia 44 tahun menarik mangsa, seorang wanita tempatan berusia 37 tahun keluar daripada bas pekerja sebelum menyimbah petrol ke tubuh mangsa dan dirinya sendiri.
“Suspek kemudian menyalakan pemetik api sehingga menyebabkan kedua-dua mereka terbakar.
"Kejadian turut menyebabkan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang berada di lokasi dan cuba membantu mereka melecur,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bahrin berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang untuk rawatan dan suspek serta mangsa ditidurkan kerana melecur teruk.
Jelasnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di talian 07-7784222, talian terus 07-7784256, hotline 07-7766822 atau Tablet DCC 014-3656822.
Apa Reaksi Anda?











