Pahang Haram Jualan Vape Mulai Tahun Hadapan
Kerajaan Pahang mengumumkan larangan penjualan rokok elektronik (vape) di semua premis perniagaan bermula tahun hadapan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kelonggaran hanya diberikan sehingga hujung tahun ini bagi membolehkan peniaga menghabiskan stok sedia ada.
“Mulai tahun depan, lesen menjual vape tidak lagi dikeluarkan, dan pihak berkuasa tempatan akan mengambil tindakan penguatkuasaan,” katanya selepas merasmikan Pasar Segar Serambi Teruntum, Jumaat lalu.
Beliau menegaskan, langkah ini diambil berikutan kebimbangan serius terhadap penyalahgunaan vape, khususnya dalam kalangan pelajar dan anak muda.
Mohammad Fakhruddin turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas keprihatinan Baginda yang sering menekankan bahaya vape dalam titah Baginda.
“Kerajaan negeri beriltizam melaksanakan titah tersebut sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Apa Reaksi Anda?











