Town Hall Rakyat Bersama Tok Wan Bukti Kerajaan Negeri Pahang Mesra dan Terbuka
Program Town Hall Rakyat bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail (Tok Wan) mencipta kejayaan tersendiri apabila menarik kehadiran luar jangkaan lebih dari 1,200 orang di Dewan Dato’ Seri Abdul Manan Ismail malam tadi.
Sambutan hangat itu membuktikan keprihatinan rakyat terhadap hala tuju pembangunan negeri, selain minat tinggi untuk mendapatkan penjelasan terus daripada Menteri Besar mengenai dasar serta perancangan kerajaan negeri.
Tok Wan menyifatkan penganjuran program anjuran Sinar Harian dengan kerjasama Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang (UKS) itu sebagai platform penting untuk mendengar suara rakyat secara langsung tanpa perantara.
“Saya amat berpuas hati dengan sambutan ini. Setiap cadangan dan pandangan akan diteliti, meskipun ada isu di luar bidang kuasa kerajaan negeri atau melibatkan peruntukan besar. Yang penting, rakyat diberi ruang untuk bersuara terus kepada saya,” ujar beliau.
Program selama hampir dua jam itu berlangsung penuh interaktif dengan pelbagai soalan dilontarkan oleh hos Azhar Sulaiman mewakili rakyat Pahang. Antara isu utama yang dibincangkan termasuk Belanjawan Negeri 2026, pembangunan ekonomi dan infrastruktur, agenda kebajikan rakyat, serta pencapaian kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Selain kehadiran fizikal yang memenuhi dewan, program tersebut turut mendapat sambutan luar biasa di platform digital menerusi siaran langsung di Facebook Sinar Harian, Pahang Media, dan laman rasmi Tok Wan, dengan ribuan tontonan dan komen positif daripada warga maya.
Tok Wan menegaskan bahawa keterbukaan seperti ini perlu diteruskan sebagai sebahagian daripada pendekatan pentadbiran mesra rakyat yang diamalkan oleh kerajaan negeri sejak beliau menerajui kepimpinan Pahang.
“Saya gembira kerana rakyat dapat mendengar penjelasan terus daripada saya, bukan daripada pihak lain yang mungkin bersifat persepsi. Inilah erti ketelusan sebenar dalam urus tadbir negeri,” katanya lagi.
Beliau turut mengesahkan kemungkinan program seumpama ini akan diteruskan di masa hadapan, sama ada bersama Sinar Harian atau agensi lain, sebagai kesinambungan usaha mendekati rakyat di setiap daerah.
Dengan penglibatan aktif masyarakat dan sambutan luar biasa, Town Hall Rakyat kali ini bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya, malah memperkukuh hubungan erat antara kerajaan negeri dan rakyat simbol kepada pentadbiran yang telus, terbuka dan berpaksikan rakyat.
Apa Reaksi Anda?











