UMNO Ke-80: Rumah Bangsa Simbol Penyatuan Semula, Perkukuh Kekuatan UMNO
Ketua Penerangan UMNO Cawangan Baroh Bachang, Rahmat Bakar menyifatkan gagasan Rumah Bangsa sebagai simbolik kepada memperkukuh kekuatan parti demi memastikan kelangsungan perjuangan UMNO di semua peringkat.
Menurut beliau, usaha penyatuan semula di bawah gagasan tersebut adalah langkah penting dalam mengembalikan kekuatan asal parti yang pernah terpecah akibat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli.
“Saya amat bersetuju dengan usaha penyatuan semula ini kerana hakikatnya, perpecahan yang berlaku sebelum ini melibatkan sesama ahli UMNO juga.
“Perbezaan pendapat telah membawa kepada penubuhan parti-parti baharu, namun akhirnya ia memecahkan kekuatan orang Melayu itu sendiri.
“Justeru, apabila kita berjaya menyatukan semula ahli-ahli UMNO, di situlah akan lahir kekuatan sebenar yang mampu memperkukuh kedudukan orang Melayu,” katanya.
Mengulas lanjut berkenaan sambutan ulang tahun UMNO, Rahmat berharap agar parti keramat ini terus kukuh dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
Beliau juga berharap perjuangan ini menjadi sumber inspirasi kepada golongan muda untuk terus mendalami serta menyambung kesinambungan perjuangan.
“UMNO sebenarnya mempunyai asas yang kuat dan penyatuan ini akan mengembalikan kekuatan tersebut.
“Saya juga menyeru golongan muda agar memahami dan menghayati sejarah perjuangan bangsa. Bacalah dan kenalilah siapa yang telah memperjuangkan agama, bangsa dan negara sejak dahulu. Sejarah membuktikan bahawa kekuatan itu datang daripada kesatuan,” ujar beliau.
Apa Reaksi Anda?











