Global Sumud Flotilla: Kapal dinaiki sukarelawan Malaysia pula diserang

Oleh : BARD
September 10, 2025 - 12:00 MYT
Global Sumud Flotilla: Kapal dinaiki sukarelawan Malaysia pula diserang

Kapal Alma dinaiki sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla pula dilaporkan menjadi sasaran serangan dron ketika berlabuh di perairan Tunisia.

Perkara itu dimaklumkan salah seorang sukarelawan, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang juga Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) menerusi hantaran di akaun Thread beliau pada pagi Rabu.

“Terkini! Bot saya, Iylia dan Sul pula menjadi sasaran dron malam ini (waktu tempatan) ketika berlabuh di Tunisia.

"Alhamdulillah tiada kecederaan dilaporkan,” tulis beliau ringkas.

Difahamkan kejadian kira-kira 11.21 malam itu menyebabkan kebakaran dan kerosakan pada kapal terbabit, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, salah seorang sukarelawan dikenali sebagai Cosme dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook Media Alkhair Malaysia memberitahu kejadian berlaku ketika dia memulakan syif malam sebelum terdengar bunyi pelik.

“Dron itu kemudian jatuh di atas bahagian atas dek kapal dengan bahan mudah terbakar. Keadaan bertukar kecoh dan kami segera padamkan api serta semua orang selamat,” katanya.

Insiden itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan delegasi Malaysia yang menyertai misi flotilla berkenaan.

Terdahulu, salah satu kapal utama flotilla dikenali sebagai “mother boat” yang membawa ahli jawatankuasa pemandu misi, turut menjadi sasaran serangan dron di perairan Tunisia.

Serangan itu menyebabkan kerosakan pada dek utama dan ruang simpanan, namun kesemua penumpang dilaporkan selamat.

Serangan berterusan itu membayangkan tahap ancaman yang sedang dihadapi sukarelawan antarabangsa dalam misi kemanusiaan menuju Gaza.

Meskipun begitu, semua sukarelawan termasuk dari Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan tetap komited untuk meneruskan perjalanan membawa mesej solidariti buat Palestin.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow