PN Tidak Sepakat, Bagaimana Hendak Bela Rakyat?

Oleh : BARD
September 12, 2025 - 11:00 MYT
PN Tidak Sepakat, Bagaimana Hendak Bela Rakyat?

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hassan mempersoalkan isu calon Perdana Menteri dalam Perikatan Nasional (PN) semakin menunjukkan ketidaksepakatan yang ketara antara komponen utamanya, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu menjelaskan, apa yang berlaku kini menunjukkan kegagalan parti tersebut dalam mewujudkan kesepakatan politik.

“Tidak kisahlah PPBM pijak Pas atau Pas pun berebut nak jadi Perdana Menteri. Yang kisah ialah parti sebeginikah yang hendak diangkat sebagai barisan kepemimpinan  pada masa depan.

“Jika mereka sudah tidak stabil dan retak hanya menanti belah dan api dalam sekam akan meletup, mengapa kita hendak memilih mereka,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Hasmuni berkata, mereka sedang menyorokkan sesuatu tetapi ia hanya seperti ‘api dalam sekam’ yang akan terbakar pada bila-bila masa.

“Kita tidak menafikan bahawa PPBM sentiasa tamak dan bercita-cita besar meski pun partinya baru setahun jagung. PAS pula yang sepatutnya menjadi ‘abang besar’ seringkali dilihat tunduk dan tawaduk menerima apa sahaja yang diputuskan oleh PPBM.

“PN hanya menunggu masa untuk berpecah dan penyokong Pas pasti berasa dipinggirkan apabila parti dominan mereka dinafikan hak untuk mencalonkan Perdana Menteri. Ketidakseimbangan ini bakal menimbulkan kekecewaan di akar umbi sekaligus membuka ruang kepada pihak lawan untuk mendapat keuntungan politik.

“PN gagal menonjolkan kepimpinan yang benar-benar bersatu. Jika benar PN mahu dilihat sebagai kuasa ketiga yang kuat, Pas sepatutnya menjadi peneraju dan layak menamakan calon Perdana Menteri. Selagi PPBM terus mendominasi secara tidak adil, selagi itulah PN akan dilihat rapuh, bercelaru, dan hanya menunggu masa untuk runtuh,” katanya.

Tambah Hasmuni lagi, sebenarnya PPBM lahir sebagai serpihan UMNO, tidak mempunyai akar umbi yang kuat.

“Hakikatnya, mereka menumpang pada kekuatan Pas untuk membina pengaruh. Tetapi kini, mereka mahu menguasai tampuk kepimpinan PN dan menamakan calon PM seolah-olah Pas hanyalah pengikut semata-mata.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin memang pernah menjadi Perdana Menteri, tetapi semua orang tahu pemerintahannya tidak bertahan lama. Beliau jatuh sebelum sempat membuktikan kestabilan sebenar. Sedangkan Presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, seorang tokoh yang konsisten dengan perjuangan Islam, tidak pernah melompat parti, dan dihormati dalam dan luar negara. Mengapa beliau tidak diberi ruang yang sewajarnya,” ujarnya.

Seterusnya kata beliau lagi, Pas adalah sebuah parti yang sudah berjuang lebih 70 tahun, berakar kukuh dalam perjuangan Islam dan memiliki jentera yang konsisten dari desa hingga ke bandar.

“Namun, peliknya, parti yang baru ditubuhkan beberapa tahun lalu seperti PPBM sudah berani mendahului Pas dalam menamakan calon Perdana Menteri. Apakah ini adil bagi sebuah parti yang lebih senior, berprinsip dan terbukti bertahan lama.

“Realitinya, tanpa jentera Pas, PPBM tidak mungkin mampu meraih sokongan rakyat. Jentera Pas yang turun ke bawah. Namun ironinya, setelah mendapat manfaat daripada sokongan akar umbi Pas, Bersatu pula mahu mendominasi PN dengan mencalonkan presidennya sebagai Perdana Menteri,” ujarnya lagi.

Persoalannya, kata beliau, di mana keikhlasan dan semangat setiakawan yang sering dilaungkan?.  

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow