Isu Kampung Sungai Baru: PAS Jangan Lepas Tangan Dan Jadi Munafik Politik
Isu pengosongan 179 penduduk Kampung Sungai Baru kembali mencetuskan drama politik apabila Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari muncul dengan kenyataan kononnya tindakan itu dilakukan tergesa-gesa dan melampaui batas kemanusiaan. Seperti biasa, PAS cuba melakonkan watak simpati, berpura-pura menjadi suara rakyat tertindas. Namun, kali ini sandiwara itu cepat dipatahkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang dengan tegas mengingatkan fakta sebenar: keputusan asal untuk pengambilan tanah itu dibuat pada tahun 2021, ketika PAS masih duduk dalam kerajaan pusat.
Jelas di sini, PAS sebenarnya sedang berlakon di pentas politik dengan skrip lama yang suka menyalahkan orang lain bila hilang kuasa, dan berpura-pura tidak tahu apa-apa bila rakyat menuntut jawapan. Ahmad Fadhli boleh bersilat lidah kononnya pemaju terlalu gopoh dan tidak berperikemanusiaan, tetapi persoalannya mudah di mana suara beliau ketika partinya berada dalam kerajaan? Mengapa senyap sunyi, tidak sepatah pun kata keluar membela rakyat Kampung Sungai Baru pada 2021?
Kenyataan Ahmad Fadhli hanyalah cubaan menutup malu PAS. Mereka tahu, sejarah tidak memihak kepada mereka. Penggunaan Akta Pengambilan Tanah pada 2021 adalah fakta yang tidak boleh dipadam. PAS juga sebahagian daripada kerajaan ketika itu, dan mereka juga bertanggungjawab. Jadi apa logiknya hari ini mahu menuding jari kepada pihak lain, sedangkan tangan mereka sendiri yang turut sama melakar keputusan itu?
Dr Akmal sudah meletakkan noktah yang jelas jangan salahkan orang lain. Jangan cuba cuci tangan seolah-olah PAS tidak terlibat. Jangan jadi munafik politik yang hanya pandai mengajar orang, tetapi gagal mengaku salah sendiri. Kenyataan beliau ini ibarat tamparan keras ke muka PAS yang semakin ketandusan modal.
Rakyat seharusnya berhati-hati dengan gaya politik penuh helah ini. PAS bukanlah pembela rakyat seperti yang mereka cuba gambarkan, sebaliknya pembela kuasa dan kedudukan. Ahmad Fadhli boleh terus bermain wayang, boleh terus menuding jari kepada pemaju atau kerajaan hari ini, tetapi kebenaran tidak boleh ditipu. Kampung Sungai Baru adalah bukti, PAS juga bersalah.
Dan kepada Ahmad Fadhli sendiri, mungkin lebih baik beliau berhenti melakonkan watak “pejuang rakyat” kerana skripnya sudah basi. Rakyat sudah mula nampak beliau tidak lebih daripada pelakon air mata politik PAS menangis hanya bila kamera terarah, lantang hanya bila hilang kuasa, dan senyap bila ada jawatan. Jika inilah gaya politik yang dibawa, jangan salahkan rakyat kalau akhirnya menolak parti yang hanya pandai bersandiwara tetapi gagal menunjukkan prinsip.
Apa Reaksi Anda?











