“Hogoh Jelai”: Slogan Politik Kebencian, Bukan Budaya Pahang
Exco Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, menyelar tindakan pembangkang membawa slogan “Hogoh Jelai”, yang disifatkannya sebagai simbol politik kebencian dan provokasi murahan, bukannya cerminan budaya rakyat negeri itu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri itu, mereka yang lantang melaungkan slogan tersebut bukan rakyat Pahang sebenar, sebaliknya datang membawa budaya hasutan dan perpecahan.
“Mereka datang dengan doktrin fitnah dan kebencian, sedangkan negeri sendiri dalam kelompok SG4 — Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis — gagal ditadbir dengan baik. Kini sibuk pula mahu mengganggu negeri orang,” tegas beliau dalam hantaran di Facebook.
YB Fadzli turut menegaskan bahawa prestasi Kerajaan Negeri Pahang jauh lebih unggul dalam pelbagai bidang daripada pertumbuhan ekonomi, kemakmuran syiar Islam, pembangunan menyeluruh hingga ke kebajikan rakyat yang dijaga secara komprehensif.
“Tiada janji, lihat bukti. Rumah sendiri pun pahat dah berbunyi… ada hati nak hogoh rumah orang,” sinis ADUN Dong itu.
Beliau menambah, segala indikator prestasi jelas menunjukkan Pahang berada jauh di hadapan berbanding negeri-negeri SG4 yang kini masih berdepan pelbagai masalah asas pentadbiran.
Fadzli turut memuji kematangan rakyat Pahang yang tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang.
“Syukur rakyat Pahang kekal matang, bijak menilai dan tidak mudah digoyah dengan politik kebencian,” katanya.
Ironinya, program “Hogoh Jelai” anjuran Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini gagal menarik sokongan, apabila hanya sekitar 10 peratus daripada sasaran 30,000 penyokong hadir, walaupun pemimpin utama parti hadir dari peringkat pusat dan negeri.
Realitinya, rakyat Pahang sudah bijak membaca taktik lama pembangkang yang menjual sentimen dan kebencian.
Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail kekal fokus membangunkan negeri dengan hasil kerja yang nyata dan berfakta bukan sekadar slogan kosong.
Rakyat Pahang sudah memilih jalan kestabilan. Negeri ini tidak perlukan “hogoh”, tapi terus maju dengan “hasil dan bukti”.
Apa Reaksi Anda?











