Saifuddin Abdullah Disembelih, Isyarat Retak Besar Dalam PN Pahang
Digugurkan tanpa belas, ditendang keluar dari jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang hanya kerana berani bersuara. Kesalahannya bukan besar cuma satu, berani menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali berundur daripada jawatan Presiden dan Setiausaha Agung Bersatu. Dalam parti yang semakin kehilangan arah, keberanian bersuara itu menjadi dosa yang tidak diampunkan.
Beginilah wajah sebenar PN hari ini, parti yang membunuh orang cerdik dan menyanjung penjilat kuasa. Parti yang mengangkat mereka yang pandai mengampu, bukan yang berani menegur. Dan dalam kelompok ini, Saifuddin menjadi mangsa kerana dia bukan jenis yang tunduk pada kem Azmin Ali atau berselindung di bawah bayang Muhyiddin.
Saifuddin bukan calang-calang pemimpin. Dia antara sedikit tokoh dalam PN yang masih berfikir dengan rasional, bukan dengan emosi atau dendam. Dia melihat realiti bahawa PN semakin hilang haluan, semakin tenggelam dalam keangkuhan dua figura besar yang kini menjadi liabiliti kepada parti sendiri. Muhyiddin terpalit dengan isu Jana Wibawa, Azmin masih dibayangi skandal lama, kedua-duanya tidak lagi mempunyai kekuatan moral untuk memimpin sebuah gerakan yang kononnya mahu membawa “politik bersih”.
Tapi dalam parti yang hidup atas ilusi dan pembohongan, kebenaran adalah racun. Itulah yang berlaku kepada Saifuddin. Keberaniannya menegur dianggap pengkhianatan. Idealismenya dilabel sebagai ancaman. Sedangkan apa yang diperjuangkannya cuma satu reformasi dalaman agar PN tidak terus menjadi parti bayangan, sekadar hidup dalam nostalgia “Abah kembali”.
Hari ini, PN sebenarnya berpecah dua. Satu puak kekal setia kepada Muhyiddin dan Azmin kumpulan yang masih mabuk kuasa dan percaya bahawa kemenangan silam boleh dihidupkan semula. Satu lagi puak adalah kumpulan Hamzah Zainuddin, disertai oleh nama-nama seperti Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal kelompok yang bermain strategi senyap untuk mengambil alih kuasa dengan slogan “pembaharuan”, walhal mereka sendiri hanyalah wajah lain kepada politik lama.
Saifuddin sekadar menyuarakan keperluan perubahan supaya parti tidak terus dibayangi ego dan kepentingan individu. Tetapi dalam dunia politik PN yang penuh dendam dan paranoia, orang jujur tidak punya ruang untuk hidup lama.
Pengguguran Saifuddin berlaku ketika khabar angin tersebar tentang kewujudan SD (surat desakan) untuk mendesak Muhyiddin berundur dan memberi laluan kepada Hamzah. Saifuddin bukan penandatangan SD itu, namun cukup sekadar dia bersetuju secara prinsip bahawa parti memerlukan wajah baharu, itu sahaja sudah cukup untuk dianggap musuh.
Dua hari sebelum dipecat, Saifuddin berani menegur secara terbuka agar Muhyiddin dan Azmin berundur. Teguran yang disambut dengan kemarahan oleh kem lama. Malam berikutnya, dia disingkir, dan tempatnya diisi oleh Tuan Ibrahim Tuan Man langkah yang membuktikan bahawa dalam PN, jawatan bukan ditentukan oleh merit atau prinsip, tetapi oleh kesetiaan kepada kuasa lama.
Saifuddin Abdullah mungkin hilang jawatan hari ini, tetapi dia tidak kehilangan maruah. Dia menjadi simbol kepada pemimpin yang berani menegur ketika yang lain tunduk. Simbol kepada akal sihat dalam parti yang kini dikuasai oleh ego dan hipokrasi.
PN boleh gugurkan namanya dari carta organisasi, tetapi mereka tidak mampu gugurkan hakikat bahawa parti itu sedang reput dari dalam. Kerana dalam PN hari ini, yang terus hidup bukan idea, bukan perjuangan tetapi ego yang menelan segala rasional dan maruah politik.
Namun keputusan menggugurkan Saifuddin bukan hanya menamatkan peranan seorang tokoh, tetapi membuka retak besar dalam PN Pahang sendiri. Ramai ahli di peringkat akar umbi khususnya di Indera Mahkota, Kuantan, dan beberapa bahagian di Pahang mula mempertikai tindakan terburu-buru ini. Ada yang melihat keputusan itu sebagai pengkhianatan terhadap suara perubahan, malah tidak mustahil PN Pahang akan berpecah dua antara mereka yang kekal setia kepada kem lama, dan mereka yang memilih untuk bersama Saifuddin dalam perjuangan pembaharuan.
Kesan domino sudah mula terasa. PN Pahang yang selama ini dianggap kukuh kini goyah. Saifuddin mungkin hilang jawatan, tetapi pengaruhnya di peringkat akar umbi tetap kuat. Ramai yang melihat beliau sebagai suara rasional yang menjadi harapan baharu kepada kepimpinan yang lebih bersih dan progresif.
Apa Reaksi Anda?











