Pemuda PAS Pahang Ketandusan Isu, Cuba Putar Belit Fakta Hasil Negeri

Oleh : BARD
Oktober 28, 2025 - 16:14 MYT
Pemuda PAS Pahang Ketandusan Isu, Cuba Putar Belit Fakta Hasil Negeri

Semalam, laman Facebook Pemuda PAS Pahang sekali lagi memain persepsi negeri kononya kutipan hasil negeri Pahang menurun pada tahun 2024. Nampaknya, bila kehabisan modal politik, fitnah ekonomi pula dijadikan senjata baharu. Tapi malang bagi mereka, kali ini tembakan itu bukan saja tersasar  tapi makan diri.

Sejak Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy bin Wan Ismail mengambil alih tampuk kepimpinan negeri pada 2018, hasil negeri Pahang melonjak secara konsisten. Tahun 2018, hasil negeri berjumlah RM434 juta. Tahun berikutnya meningkat kepada RM847 juta. Ketika seluruh dunia berdepan pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021, hasil negeri masih kekal kukuh sekitar RM850 juta hingga RM866 juta. Tahun 2022 menjadi detik bersejarah apabila hasil negeri mencecah RM1.288 bilion, diikuti RM1.306 bilion pada 2023, dan RM1.220 bilion pada 2024 seperti yang direkodkan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pahang Tahun 2024 dan 2023.

Dengan kata lain, di bawah kepimpinan Wan Rosdy, hasil negeri meningkat hampir 175 peratus sejak 2018. Jadi bila Pemuda PAS Pahang mendakwa kononnya hasil negeri menurun, jelas mereka gagal membaca data kewangan yang mereka sendiri petik. Sama ada mereka buta angka, atau sengaja butakan mata demi politik murahan hanya mereka yang tahu.

Memang benar, laporan kewangan menunjukkan penurunan sebanyak RM85.63 juta pada tahun 2024 berbanding 2023, iaitu dari RM1.306 bilion kepada RM1.220 bilion, atau 6.6 peratus. Namun penurunan ini bukan tanda kelemahan. Ia adalah kesan langsung daripada faktor ekonomi semasa dan lebih penting, komposisi hasil menunjukkan pentadbiran negeri kekal stabil serta berdisiplin dalam mengurus hasil.

Jadual 7 dalam laporan itu jelas menunjukkan bahawa hasil cukai negeri meningkat daripada RM489.96 juta pada 2023 kepada RM499.64 juta pada 2024, peningkatan sebanyak RM9.68 juta atau dua peratus. Ini bukti jelas sistem kutipan negeri semakin baik. Peningkatan ini pula tidak menekan rakyat kecil, kerana pemilik tanah di bawah 10 ekar  yang mewakili lebih 80 peratus pemilik tanah di Pahang dan majoritinya orang Melayu tidak dikenakan sebarang kenaikan cukai tanah.

Kategori hasil bukan cukai, yang meliputi dividen GLC, hasil hutan, royalti dan lesen, mengalami penurunan sebanyak RM113.19 juta atau 18.8 peratus. Ia bukan kerana kelemahan pengurusan negeri, tetapi disebabkan faktor ekonomi luar seperti penurunan pasaran komoditi dan turun naik prestasi GLC yang bergantung kepada keadaan ekonomi semasa. Sebaliknya, terimaan bukan hasil meningkat RM17.88 juta atau 8.4 peratus, menunjukkan kecekapan kerajaan negeri dalam pelarasan dan kutipan semula bayaran kewangan.

Realitinya, walaupun hasil keseluruhan sedikit menurun, jumlah RM1.220 bilion itu masih jauh melebihi keperluan perbelanjaan mengurus negeri yang hanya sekitar RM600 juta. Ini bermakna kerajaan negeri masih memiliki lebihan besar untuk dipulangkan kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan bantuan daripada bayi baru lahir hingga warga emas, tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

Berbeza dengan negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS, Pahang tidak pernah gagal membayar gaji atau bonus penjawat awam. Tidak pernah juga terpaksa menagih simpati daripada kerajaan pusat untuk menampung perbelanjaan negeri. Sementara PAS Pahang sibuk menjerit kononnya kerajaan negeri “boros”, negeri-negeri yang mereka tadbir pula terpaksa berhutang dengan kerajaan pusat untuk membayar gaji. Itulah politik PAS  konon bercakap atas nama Islam dan amanah, tetapi tanggungjawab duniawi kepada rakyat pun gagal dilaksanakan.

Jika penurunan hasil ini mahu dijadikan modal politik, maka Pemuda PAS Pahang sebenarnya tidak faham asas ekonomi negeri. Hasil bukan cukai bersifat turun naik mengikut pasaran dan pelaburan GLC, sama seperti mana-mana negeri lain. Tetapi apa yang kekal ialah disiplin kewangan dan kestabilan hasil keseluruhan negeri. Dan dalam hal ini, Pahang berada pada tahap yang sangat baik.

Jujurnya, jika PAS memerintah Pahang hari ini, belum tentu hasil negeri mampu mengekalkan paras RM1 bilion setahun. Lihat sahaja Kelantan dan Terengganu hasil negeri jauh lebih rendah, hutang bertimbun, air masih keruh, infrastruktur terbengkalai. Itulah hasil pentadbiran yang hanya pandai berpolitik, bukan mentadbir.

Cukuplah PAS menjual agama untuk menutup kelemahan ekonomi mereka. Politik air liur tidak pernah menambah hasil negeri. Apa yang menaikkan hasil ialah dasar ekonomi yang realistik, tadbir urus berhemah dan kepimpinan berpandangan jauh semuanya terbukti di bawah Dato’ Sri Wan Rosdy.

Jadi kepada Pemuda PAS Pahang, berhentilah berlagak sebagai pakar ekonomi TikTok yang menilai prestasi negeri hanya daripada tajuk berita. Fakta tidak boleh ditipu. Rakyat Pahang sudah matang menilai. Pahang terus kukuh, hasil terus meningkat, dan rakyat terus menikmati manfaat pembangunan. Yang merudum bukan hasil negeri, tapi kredibiliti PAS Pahang sendiri dan itu bukan lagi rahsia.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow