“Kocak Jelai Gagal, PN Kini Hanyut Dalam Gelombang Sendiri”
Gagal mencipta gelombang di Jelai, kini gelombang itu berbalik menghentam Perikatan Nasional (PN) sendiri. Apa yang digembar-gemburkan sebagai “kocakan rakyat” rupa-rupanya hanyalah percubaan terdesak untuk menutup retak dalam rumah sendiri antara PAS dan Bersatu. Ketika jentera PN berhempas pulas mencipta naratif kononnya mereka sedang mendapat sambutan luar biasa, realitinya sambutan rakyat dingin dan lesu. Rakyat sudah muak dengan politik drama yang dimainkan tanpa isi, tanpa arah, dan tanpa hasil.
Di Jelai, strategi PN ternyata gagal. Gimik kononnya mereka membawa suara rakyat langsung tidak mengena. Walaupun menggunakan pendekatan populis dan berlapik agama untuk memancing simpati, rakyat semakin matang menilai. Mereka tahu siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya pandai bercakap. Ketika Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menumpukan sepenuh tenaga kepada pembangunan, kebajikan rakyat, serta kestabilan ekonomi negeri, PN pula masih tenggelam dalam gelora perebutan kuasa dan cita-cita peribadi.
Kini selepas “kocak Jelai” gagal, PN sendiri yang berkocak. Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN semakin dipersoalkan. Suara akar umbi dan pemimpin bahagian mula menuntut perubahan, malah ada yang terang-terangan mendesak beliau melepaskan jawatan. Bukan sekadar dalam Bersatu, malah dalam PAS juga kedengaran rasa tidak puas hati terhadap prestasi dan pengaruh Muhyiddin yang semakin merosot.
Terkini, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah sendiri tampil lantang menggesa bukan sahaja Muhyiddin, tetapi juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali berundur. Isu lama membabitkan Hotel Four Season Sandakan kembali menjadi duri dalam daging, memburukkan lagi imej kepimpinan Bersatu yang sedia tercalar. Ditambah pula dengan kes Jana Wibawa yang sedang menghantui Muhyiddin serta kisah menantunya yang hidup mewah di luar negara, beliau kini menjadi liabiliti terbesar kepada PN.
Dalam masa sama, PAS turut menunjukkan isyarat tidak puas hati. Sudah kedengaran suara dalam PAS yang mahu Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengambil alih kepimpinan PN. Malah, nama Hamzah sudah dicanangkan sebagai calon Perdana Menteri jika PN menang PRU akan datang satu isyarat jelas bahawa kepercayaan terhadap Muhyiddin semakin pudar. Namun, langkah itu juga mencetuskan persoalan: adakah PAS benar-benar selesa dipimpin oleh Hamzah yang bukan tokoh agama, atau ini hanya langkah sementara menunggu peluang menikam dari belakang?
Keretakan PN kini semakin ketara. Antara PAS yang gila kuasa dan Bersatu yang hilang arah, mereka kini tidak lagi mampu menyembunyikan pertelagahan dalaman. Setiap kali mereka cuba menutup masalah dengan slogan baharu, rakyat hanya tersenyum sinis melihat sandiwara yang berulang. Soalnya bukan lagi bila PN akan pecah tetapi siapa yang akan menikam siapa dahulu.
Melihat kepada keadaan sekarang, eloklah rakyat bersedia dengan popcorn. “Kocak Jelai” mungkin gagal menggoncang kerajaan, tapi kini ia sedang menggoncang pakatan PN sendiri. Dan seperti biasa, bila kuasa menjadi kiblat, kehancuran hanyalah soal masa.
Apa Reaksi Anda?











