Kenaikan Tarif Air, Exco Terengganu Gagal Fahami Beban Rakyat

Oleh : BARD
September 23, 2025 - 15:35 MYT
Kenaikan Tarif Air, Exco Terengganu Gagal Fahami Beban Rakyat

Kerajaan PAS Terengganu sekali lagi menguji kesabaran rakyat dengan kenaikan tarif air bermula 1 Ogos 2025. Exco Infrastruktur negeri, Datuk Hanafiah Mat dengan nada tenang berkata kenaikan itu tidak membebankan, malah memberi contoh bil rumahnya sendiri naik dari RM100 ke RM121 sahaja. Kenyataan sebegini jelas memperlihatkan bagaimana pemimpin PAS gagal memahami beban sebenar rakyat marhaen. Tambahan RM20 mungkin kecil bagi seorang Exco dengan gaji dan elaun besar, tetapi bagi keluarga berpendapatan RM1,500 sebulan, jumlah itu boleh jadi sebakul beras untuk anak-anak.

Di Terengganu, tarif air dinaikkan sebanyak lapan sen setiap meter padu bagi penggunaan hingga 20 meter padu sebulan. Caj minimum pula kini RM6.60 sebulan. Memang benar kerajaan negeri mengekalkan subsidi 20 meter padu untuk isi rumah B40 serta menanggung kos air bagi masjid, surau dan institusi kebajikan, tetapi kenyataan Exco sendiri mengakui bahawa jika penggunaan mencecah 35 meter padu, bil boleh meningkat hampir seratus peratus. Inilah yang menimbulkan keresahan, kerana walaupun penggunaan air sama seperti sebelum ini, ramai pengguna mula mengadu bil mereka naik mendadak.

Bandingkan dengan Pahang, walaupun kerajaan negeri turut menaikkan tarif daripada 37 sen kepada 78 sen setiap meter padu selepas lebih 40 tahun tidak disemak, pendekatan mereka jauh lebih berhati-hati. Pahang memperkenalkan skim Rebat Air Makmur khusus untuk membantu golongan B40 agar kenaikan tarif tidak membebankan isi rumah berpendapatan rendah. Bezanya jelas, Pahang mengambil langkah melindungi rakyat yang paling terkesan, sedangkan PAS Terengganu sekadar memberi alasan bahawa tarif mereka masih lebih rendah berbanding negeri lain.

Persoalannya, mengapa perlu sibuk membandingkan tarif dengan negeri lain sedangkan rakyat Terengganu hanya peduli pada bil air di rumah sendiri? Tidak ada gunanya PAS berkata tarif di negeri ini masih murah berbanding Johor atau Melaka, kerana rakyat tidak mandi dengan air dari negeri lain. Apa yang mereka mahukan ialah perkhidmatan yang bai,  tekanan air stabil, paip tidak bocor, tangki yang mencukupi. Malangnya, janji bahawa hasil kenaikan ini akan digunakan untuk membaiki infrastruktur hanyalah skrip lama yang sudah bertahun-tahun diulang.

Hakikatnya, masalah air di Terengganu bukan baharu. Dari isu tekanan rendah, bekalan tidak menentu, hingga ke paip usang yang bocor, semuanya berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan negeri. Kini rakyat diminta membayar lebih dengan alasan untuk menampung kos operasi dan menaik taraf sistem, sedangkan keyakinan mereka sudah hilang. Kenaikan tarif tanpa penambahbaikan nyata hanya menambah rasa meluat rakyat terhadap kerajaan PAS Terengganu.

Akhirnya, air yang sepatutnya menjadi rahmat buat rakyat negeri ini kini bertukar menjadi punca sumpah seranah. Bezanya dengan Pahang sangat ketara, satu negeri berusaha melindungi rakyat daripada beban kenaikan, manakala satu lagi hanya pandai memberi alasan untuk menutup kelemahan pentadbiran sendiri.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow