Sultan Pahang Tegaskan Istilah ‘Tanah Adat’ Perlu Digunakan Dengan Tepat

Oleh : BARD
Ogos 19, 2026 - 11:00 MYT
Sultan Pahang Tegaskan Istilah ‘Tanah Adat’ Perlu Digunakan Dengan Tepat

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan istilah ‘Tanah Adat’ ketika membincangkan hak tanah masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Baginda bertitah, penggunaan istilah yang tepat penting bagi mengelakkan kekeliruan berhubung status serta hak masyarakat Orang Asli terhadap kawasan yang diduduki atau digunakan mereka.

Menurut Baginda, Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) memperuntukkan istilah ‘Kawasan Orang Asli’ di bawah Seksyen 6 dan ‘Rizab Orang Asli’ di bawah Seksyen 7, yang boleh diisytiharkan oleh pihak berkuasa negeri melalui pemberitahuan dalam Warta.

“Janganlah kita sewenang-wenangnya menggunakan istilah ‘Tanah Adat’ seolah-olah setiap kawasan yang pernah diduduki, dimasuki atau digunakan secara automatik menjadi hak.”

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Program Kenduri Rakyat Sempena Hari Orang Asli Tahun 2026 di Kampung Orang Asli Sungai Mok, semalam.

Turut hadir ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan ketua jabatan.

Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah berniat menafikan hak masyarakat Orang Asli. Sebaliknya, hak dan kebajikan mereka mesti dihormati, dipelihara dan dilindungi selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang.

Baginda bertitah, hak tersebut perlu dilaksanakan dalam kerangka undang-undang, termasuk melalui pemberian hak menduduki tanah tertentu dalam Kawasan Orang Asli atau Rizab Orang Asli.

Sehubungan itu, Baginda menitahkan supaya proses pengukuran, persempadanan dan pewartaan kawasan Orang Asli dipercepatkan bagi memastikan kawasan yang diperuntukkan benar-benar terpelihara.

Sempadan yang jelas, titah Baginda, bukan sahaja dapat melindungi kepentingan masyarakat Orang Asli, malah mengelakkan pertindihan kawasan dan tuntutan tanpa batas.

Menyentuh status tanah masyarakat Orang Asli di Pahang, Baginda memaklumkan terdapat 264 Kampung Orang Asli (KOA) di negeri ini.

Daripada jumlah itu, 30 KOA telah selesai diwartakan, manakala 16 KOA telah diberikan hak milik tanah, menjadikan keseluruhan 46 KOA mempunyai penyelesaian status tanah.

Bagaimanapun, sebanyak 218 KOA masih belum diselesaikan status tanahnya.

Baginda mahu setiap masalah dan halangan yang menyebabkan proses tersebut tertangguh dikenal pasti serta diselesaikan dengan segera.

“Jika ada masalah, nyatakan masalahnya. Jika ada halangan undang-undang, cari kaedah penyelesaiannya. Jangan dibiarkan Orang Asli menunggu tanpa kepastian.”

Titah tersebut mencerminkan komitmen Baginda agar isu status tanah masyarakat Orang Asli ditangani secara teratur, berasaskan undang-undang dan dengan memberikan kepastian kepada masyarakat yang terlibat.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow