Kembali Ke Rumah Bangsa: Mohd Rafi Seru Satukan Hati Demi Masa Depan
Seruan “Kembali Ke Rumah Bangsa” yang diketengahkan Presiden UMNO adalah mesej utama dalam usaha menyatukan semula kekuatan politik demi masa depan negara yang lebih stabil dan bermaruah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menegaskan bahawa pendekatan tersebut bukan sekadar retorik politik, sebaliknya merupakan panggilan untuk kembali kepada asas perjuangan yang berteraskan kesetiaan, pengorbanan dan keikhlasan.
“Hari ini, kita tidak sekadar bercakap tentang politik. Kita bercakap tentang masa depan bangsa, tentang maruah perjuangan, dan tanggungjawab kita kepada rakyat,” katanya.
Menurut beliau, sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan sesuatu perjuangan terletak pada perpaduan, manakala perpecahan hanya membawa kepada kelemahan.
“Kita pernah kuat kerana kita bersatu, dan kita juga pernah kalah kerana perpecahan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan menekankan bahawa perjuangan politik tidak seharusnya berpusat kepada individu atau kedudukan semata-mata, sebaliknya perlu berlandaskan matlamat yang lebih besar untuk generasi akan datang.
“Perjuangan ini bukan tentang individu atau kuasa, tetapi tentang memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang stabil, aman dan bermaruah,” katanya.
Beliau turut menyeru agar pendekatan baharu dalam politik diangkat dengan menjadikan ia sebagai satu bentuk tanggungjawab moral dan nilai murni.
“Dalam dunia politik yang semakin mencabar, kita harus mengangkat prinsip lebih tinggi iaitu menjadikan politik satu ibadah, berjuang dengan niat yang bersih, bekerja dengan amanah dan memimpin dengan hati yang ikhlas,” jelasnya.
Justeru, beliau menggesa semua pihak untuk kembali memperkukuh perpaduan demi mengembalikan keyakinan rakyat.
“Inilah masanya untuk kita bangkit semula menyatukan hati, memperkuatkan saf dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada perjuangan kita,” katanya lagi.
Apa Reaksi Anda?











