UMNO/BN Perlu Lakukan Perubahan, Bijak Urus Persepsi Rakyat

Oleh : BARD
April 28, 2026 - 11:00 MYT
UMNO/BN Perlu Lakukan Perubahan, Bijak Urus Persepsi Rakyat

UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu melakukan perubahan dari aspek penggunaan media sosial dan bijak mengurus persepsi rakyat, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, cara rakyat menerima maklumat sudah berubah dan ia semakin mudah dicapai seiring dengan peredaran zaman.

“Kita mesti jujur kepada diri kita sendiri. Politik hari ini tidak lagi sama seperti dahulu. Medannya sudah berubah. Cara rakyat menerima maklumat sudah berubah. Cara persepsi yang dibentuk juga sudah berubah. Hari ini, rakyat tidak menunggu ucapan rasmi untuk membuat penilaian.

“Mereka menilai melalui potongan video 30 saat. Mereka menilai melalui satu ‘caption’. Mereka menilai melalui satu ‘headline’. Mereka menilai melalui satu klip yang diviralkan di TikTok, Facebook, Instagram, WhatsApp dan pelbagai platform lain.

“Sebab itu saya ingin tegaskan bahawa politik hari ini bukan sahaja tentang siapa mempunyai idea baik, tetapi juga tentang siapa yang paling bersedia mengurus perhatian rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup sempena Majlis Pelancara Program Eksekutif: Executive Certificate In Digital Communication Leadership di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Isnin.

Ujarnya, kekalahan UMNO/BN pada dua siri Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu memberi pengajaran kepada parti akan pentingnya mengoptimumkan penggunaan media sosial.

“Dalam beberapa pilihan raya yang lalu, kita telah belajar banyak perkara. Kadang-kadang kita belajar dengan kemenangan. Kadang-kadang kita belajar dengan kekalahan. Tetapi salah satu pengajaran paling besar yang mesti kita akui ialah ramai calon dan pemimpin kita belum benar-benar bersedia dari sudut digital.

“Ada calon yang masuk ke gelanggang tetapi akaun media sosialnya tidak terurus. Ada yang hanya mula berfikir tentang kandungan apabila tempoh berkempen sudah bermula. Ada yang masih melihat media sosial sekadar tempat memuat naik poster, bukan sebagai medan membina kepercayaan, mempengaruhi sentimen dan mengurus persepsi. Ada yang tidak memahami bagaimana algoritma bekerja.

“Mereka tidak sedar bahawa dalam dunia digital, bukan semua kandungan akan sampai kepada rakyat secara automatik. Kandungan yang lemah akan tenggelam. Kandungan yang lambat akan kalah. Kandungan yang tidak memahami tingkah laku platform akan gagal menembusi perhatian pengundi.

“Lebih membimbangkan, ada juga yang tidak cukup peka bahawa apa sahaja yang kita ucapkan hari ini boleh menjadi tajuk berita esok pagi. Dulu mungkin sesuatu ucapan hanya didengar oleh hadirin dalam dewan. Hari ini, satu kenyataan di pentas kecil boleh melonjak menjadi berita nasional dalam masa beberapa minit,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa pemimpin pada hari ini perlu mempunyai disiplin komunikasi yang tinggi.

“Sebab itu pemimpin hari ini mesti ada disiplin komunikasi yang tinggi. Mereka mesti faham bahawa mikrofon sentiasa hidup. Kamera sentiasa merakam. Telefon sentiasa bersedia. Musuh politik sentiasa menunggu silap kita.

“Maka soal bagaimana bercakap kepada media, bagaimana menjawab soalan wartawan, bagaimana memberi ‘soundbite’, bagaimana mengelakkan perangkap soalan, bagaimana membaca suasana semasa … semuanya sudah menjadi sebahagian daripada syarat asas seorang pemimpin moden.

“Pemimpin juga mesti peka kepada tren semasa. Bukan kerana kita mahu menjadi pengikut hiburan digital. Tetapi tren hari ini adalah bahasa baharu masyarakat. Dalam tren ada ‘mood’ rakyat. Dalam tren ada keresahan semasa.

“Dalam tren ada peluang untuk kita menyelitkan mesej secara lebih dekat dengan rakyat. Pemimpin yang tidak peka kepada arus semasa akan sentiasa kelihatan lambat, jauh dan tidak memahami denyut nadi masyarakat,” katanya lagi. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow