PAS dan Budaya Fitnah: Antara Penipuan, Saman dan Pembohongan Terbaru

PAS, parti yang sering mendabik dada sebagai pembela Islam, kini kian terpalit dengan siri pembohongan, fitnah dan tindakan tidak bertanggungjawab yang jelas bertentangan dengan prinsip agama yang mereka dakwa perjuangkan. Di sebalik laungan suci di pentas ceramah dan masjid, realitinya PAS semakin tenggelam dalam lumpur politik kotor dengan lidah-lidah pemimpinnya semakin galak menyebar dakyah palsu demi kelangsungan kuasa.
Terbaru, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila beliau memuat naik hantaran mempersendakan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila menyertai usaha "pendamaian" antara Myanmar dan Thailand.
Hantaran tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah memperlihatkan tahap kejahilan yang memalukan daripada seorang tokoh yang memegang jawatan strategik dalam parti. Hakikatnya, PMX berada di persada antarabangsa untuk mempromosi keamanan serantau di bawah kerangka ASEAN, bukan menjadi bahan jenaka seperti yang cuba digambarkan oleh PAS.
Selepas dikecam hebat netizen dan media, hantaran itu terpaksa dipadam, ini satu lagi bukti bahawa pembohongan ini bukan sahaja tidak dapat dipertahankan, malah membuka aib dan memperbodohkan diri sendiri di mata rakyat.
Budaya fitnah dalam PAS bukan perkara baharu. Berikut beberapa kes saman fitnah besar yang pernah dan sedang melibatkan pemimpin serta jentera parti itu:
1. Fitnah terhadap Lim Guan Eng
Beberapa tahun lalu, pemimpin PAS termasuk Presiden PAS sendiri, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, dan bekas pemimpin Dewan Pemuda PAS membuat pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap Lim Guan Eng berhubung isu penyelewengan di Pulau Pinang. Beberapa tuntutan saman telah dibuat terhadap mereka, menyebabkan parti itu terpaksa membayar gantirugi atau menarik balik kenyataan.
2. Saman Clare Rewcastle Brown
Antara kes paling memalukan ialah saman Clare Rewcastle Brown terhadap Presiden PAS. Clare mendakwa bahawa Hadi menarik balik saman terhadapnya di mahkamah UK selepas bukti menunjukkan terdapat bayaran besar daripada UMNO kepada PAS yang merupakan satu dakwaan yang cukup mengejutkan. Kes ini bukan sahaja menggugat kredibiliti PAS, tetapi juga menimbulkan tanda tanya terhadap ketelusan kewangan parti itu.
3. Tuduhan terhadap Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani
Tidak terkira berapa banyak kali PAS melalui lidah-lidah ahlinya melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap Anwar Ibrahim dari menuduh Anwar pro-Israel, agen asing, menyokong LGBT, sehinggalah dakwaan kononnya menjual agama. Semua ini dilakukan tanpa bukti kukuh dan hanya dilakukan demi mencetuskan kebencian rakyat.
4. Kes-kes kecil namun tetap menjijikkan
Pelbagai fitnah kecil dari akaun rasmi sayap PAS, termasuk PAS Kawasan, Pemuda PAS, dan individu yang rapat dengan pimpinan, disebarkan saban minggu yang menyasarkan musuh politik, aktivis masyarakat, dan mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengan mereka.
Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila fitnah dan pembohongan ini disalut dengan slogan Islam yang menjadikan ia lebih berbahaya dan mengelirukan rakyat. PAS seolah-olah mencipta versi Islamnya sendiri yang membenarkan pembohongan atas nama politik. Mereka melabel musuh politik sebagai "kafir harbi", menyebar hadis untuk menyerang lawan, dan memanipulasi ayat-ayat Al-Quran untuk menjustifikasi tindakan mereka.
Sedangkan Rasulullah SAW sendiri mengingatkan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh, dan pembohongan adalah antara sifat utama orang munafik.
Kini rakyat semakin celik maklumat. Kecanggihan teknologi membolehkan pembohongan PAS dipatahkan dalam masa beberapa minit. Setiap hantaran menipu, setiap video palsu, dan setiap kenyataan tidak berasas boleh disemak semula dan PAS semakin hari dilihat seperti pelawak politik yang kehilangan arah.
Pembohongan Ketua Penerangan PAS Pusat baru-baru ini hanyalah satu lagi episod dari drama panjang budaya fitnah dalam parti itu. Yang nyata, PAS tidak serik, malah semakin ligat bermain api. Tapi rakyat Malaysia sudah bosan. Mereka mahukan politik yang matang, bukan politik tipu, fitnah dan penuh dusta yang bersalut serban.
Apa Reaksi Anda?






