Pembangkang hanya Kuat Menyalak tapi Lemah Bertindak
Politik Malaysia penuh warna-warni, tetapi sayangnya pembangkang kini lebih banyak menjadi bahan ketawa rakyat daripada harapan. Ketika rakyat dihimpit kos sara hidup, harga barang melonjak, dan janji reformasi kerajaan belum sepenuhnya ditunaikan, pembangkang pula sibuk dengan drama dalaman, perpecahan, dan retorik kosong.
Pembentukan “pakatan longgar” 12 parti kononnya untuk menunjukkan kesatuan pembangkang hanyalah wayang politik. Realitinya, mereka tidak punya visi bersama. PAS dengan agenda agama, Bersatu dengan sisa kuasa, Pejuang masih mencari arah dan Muda pula kehilangan relevan. Apa yang menyatukan mereka? Hanya kebencian terhadap Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan. Itu saja.
Setiap kali sidang Parlimen, pembangkang lantang menyalak isu kos hidup. Ya, rakyat memang terbeban. Tetapi bila ditanya apa solusi mereka? Senyap. Hanya pandai tuding jari, tetapi gagal menunjukkan pelan konkrit. Demonstrasi besar-besaran seperti “Turun Anwar” sekadar jadi medan sorak, tanpa satu pun cadangan realistik selepas habis jerit-jerit di jalanan.
Pembangkang menuduh kerajaan pusat pinggirkan negeri mereka. Hakikatnya, data rasmi menunjukkan peruntukan meningkat. Tapi pembangkang tetap ulang skrip lama kerana tahu rakyat mudah dimanipulasi dengan sentimen. Inilah politik murahan yang lebih suka main persepsi daripada berani berdepan fakta.
Masalah paling memalukan ialah pembangkang makin ketagih dengan fitnah. Contohnya isu subsidi petrol RON95 kononnya disalahgunakan warga asing. Tuduhan dilempar, tetapi bila disemak, fakta tidak tepat. Bila silap? Tidak pernah minta maaf. Inilah punca rakyat mula muak kerana pembangkang dilihat bukan sekadar lemah, tetapi juga tidak bermaruah.
Daripada sibuk cari jalan bantu rakyat, pembangkang lebih ghairah berunding kerusi, bergaduh sesama sendiri dan berpakat secara rahsia untuk rebut kuasa. Apa nasib rakyat? Tolak ke tepi. Mereka hanya muncul ketika ada isu panas untuk mencuri perhatian. Hakikatnya, rakyat semakin sedar bahawa pembangkang hari ini lebih lapar kuasa daripada ikhlas memperjuangkan nasib orang biasa.
Jika pembangkang mahu terus kekal relevan, mereka perlu berani bertransformasi. Bukan lagi sekadar pandai menyalak, tetapi perlu berani membentangkan dasar yang jelas. Bukan lagi bergantung kepada fitnah, tetapi berpolitik dengan fakta. Dan paling penting, berhenti jadi “pembangkang untuk membangkang”.
Hari ini, pembangkang Malaysia ibarat singa tanpa gigi yang kuat mengaum tetapi tidak mampu menggigit. Rakyat semakin muak dengan drama kosong. Jika keadaan ini berterusan, jangan mimpi untuk menjadi kerajaan. Rakyat tidak akan memilih mereka yang hanya tahu mencetus bising, tetapi gagal memberi harapan.
Soalannya adakah pembangkang sanggup berubah, atau mereka mahu terus menjadi badut politik yang menyalak tanpa isi?
Apa Reaksi Anda?











