Kisah Kurma Yang Terbuang
Semalam, saya tertarik dengan sebuah kisah. Ketika menelusuri timeline, saya terjumpa satu tangkapan skrin yang memaparkan tindakan seorang imam masjid di Maran membuang kurma ke dalam tong sampah. Kurma tersebut merupakan pemberian Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin sempena bulan Ramadan.
Bukankah kurma itu makanan sunnah? Adakah wajar membuang makanan yang masih elok ke dalam tong sampah? Sebagai seorang imam yang membawa imej Islam, beliau sepatutnya menunjukkan akhlak terpuji serta kepimpinan yang lebih berwibawa.
Lebih mengecewakan, gambar kurma yang dibuang itu turut dimuat naik dalam group WhatsApp penduduk kampung, memperlihatkan tindakan yang kurang matang dalam berpolitik. Seorang imam seharusnya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat, bukan hanya dalam ibadah tetapi juga dalam adab dan sikap terhadap perbezaan pendapat.
Perbezaan politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk bertindak secara emosional hingga mengabaikan nilai-nilai Islam yang mementingkan kesederhanaan, kebijaksanaan, dan sikap hormat-menghormati. Jika perbuatan seperti ini dibiarkan berlarutan, ia bukan sahaja mencemarkan imej individu tersebut tetapi juga boleh memecahbelahkan perpaduan dalam komuniti.
Di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, umat Islam seharusnya lebih menumpukan kepada perpaduan, bukannya perpecahan. Isu kurma yang terbuang ini bukan sekadar soal makanan, tetapi cerminan kepada cabaran lebih besar yang dihadapi umat Islam hari ini kerana membiarkan perbezaan politik menjadi tembok pemisah dalam persaudaraan.
Seperti pepatah mengatakan, "Yang elok itu budi, yang indah itu bahasa," setiap tindakan harus mencerminkan akhlak yang baik dan kebijaksanaan dalam bertindak. Jika benar tidak mahu menerima kurma tersebut, alangkah eloknya di sedekahkan kepada mereka yang memerlukan berbanding membuangnya di tong sampah lalu di upload di media sosial. Sikap menghargai nikmat dan mengutamakan adab bukan sahaja melambangkan keperibadian mulia, tetapi juga mengukuhkan ukhuwah dalam masyarakat. Sudah tiba masanya untuk kita bermuhasabah dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar yang berteraskan persaudaraan, kasih sayang, dan sikap saling menghormati.
Nukilan
Nadia Rose
Mewangi Tapi Berduri
Apa Reaksi Anda?











