Hairi Seru Semua Pihak Bertenang, Elak Tafsiran Melampau

Oleh : BARD
Januari 8, 2026 - 11:00 MYT
Hairi Seru Semua Pihak Bertenang, Elak Tafsiran Melampau

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Mad Shah menyeru semua pihak agar bertenang, berfikir secara rasional serta tidak membuat sebarang tafsiran melampau berhubung kenyataan yang disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Akmal Saleh.

Menurut beliau, prinsip kebebasan bersuara perlu difahami secara matang tanpa menilai sesuatu kenyataan secara emosional oleh pendukung parti, rakyat, media dan semua pihak.

“Dalam prinsip kebebasan bersuara, apa yang dinyatakan dan disuarakan oleh Datuk Dr. Akmal itu tidak seharusnya dipandang oleh pendukung parti, rakyat, media dan semua pihak secara emosi. Setiap pandangan perlu dinilai secara rasional, matang dan berhemah, tanpa terus mengambil kesempatan untuk membuat spekulasi atau andaian yang tidak berasas sehingga boleh membawa maksud yang salah dan tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak merentas parti politik termasuk pimpinan dan jentera komunikasi agar mengelakkan sebarang bentuk kenyataan yang bersifat provokatif dan spekulatif.

“Sehubungan itu, saya mengajak semua pihak merentas parti politik, pimpinan dan jentera komunikasi agar mengelakkan sebarang bentuk kenyataan provokatif, spekulatif atau naratif yang boleh mengeruhkan keadaan,” ujarnya.

Tambah beliau, politik yang matang menuntut semua pihak mengutamakan fakta, adab serta tanggungjawab bersama dalam memelihara keharmonian negara.

“Politik yang matang menuntut kita mengutamakan fakta, adab serta tanggungjawab bersama dalam memelihara keharmonian negara,” katanya.

Dalam masa yang sama, Mohd Hairi menegaskan Pemuda UMNO kekal komited memastikan kepimpinan parti berada dalam keadaan stabil, bersatu dan fokus kepada agenda membela kepentingan rakyat serta memperkukuh kestabilan politik negara.

“Pemuda UMNO kekal komited untuk memastikan kepimpinan parti berada dalam keadaan stabil, bersatu dan fokus kepada agenda membela kepentingan rakyat, memperkukuh kestabilan politik serta menyokong kelangsungan pentadbiran negara,” katanya.

Beliau turut menyeru ahli-ahli parti, para penyokong dan seluruh rakyat agar tidak terpengaruh dengan permainan persepsi serta maklumat separuh benar, sebaliknya menangani setiap isu secara berhemah berpandukan maklumat yang sahih dan saluran yang betul.

“Setiap isu wajar ditangani secara berhemah, berpandukan maklumat yang sahih dan saluran yang betul,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, menjadi tanggungjawab bersama semua pihak untuk memastikan wacana politik kekal sihat, beretika dan tidak mencetuskan ketegangan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi politik serta kestabilan negara.

“Pemuda UMNO akan terus berdiri teguh mempertahankan kebenaran, menolak fitnah dan menyumbang kepada suasana politik yang lebih matang, harmoni dan berfokus kepada masa depan rakyat,” katanya.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow