PAS Tunggang SUMUD Untuk Himpunan URA

Oleh : BARD
Oktober 3, 2025 - 14:54 MYT
PAS Tunggang SUMUD Untuk Himpunan URA

Nama SUMUD sepatutnya mengangkat makna yang sangat besar iaitu ketabahan dan keteguhan rakyat Palestin dalam menghadapi kezaliman Zionis. SUMUD juga menjadi lambang solidariti antarabangsa, terutama selepas keberanian flotilla kemanusiaan yang baru-baru ini berlayar membawa bantuan ke Gaza walaupun disekat dan ditahan oleh tentera Zionis.

Sukarelawan yang terbabit dalam flotilla SUMUD itu datang dari pelbagai negara. Mereka tidak membawa panji politik, tidak membawa kepentingan parti, tetapi membawa semangat kemanusiaan yang ikhlas. Mereka sanggup berdepan ancaman peluru, kapal perang Zionis dan risiko dipenjara semata-mata untuk sampai ke Gaza. Malangnya, sebahagian daripada mereka akhirnya ditahan oleh tentera Zionis. Penahanan itu mencetuskan kecaman dunia, kerana ia sekali lagi membuktikan betapa zalim dan baculnya rejim penjajah.

Namun di Malaysia, nama SUMUD ini tiba-tiba dijadikan modal oleh PAS untuk himpunan jalanan. Poster “Himpunan SUMUD” yang berlegar hari ini jelas menunjukkan agenda tersembunyi. Kononnya himpunan itu demi Palestin, tetapi rupa-rupanya disekalikan dengan “Himpunan Mega” menolak URA, agenda politik dalaman mereka sendiri yang langsung tiada kaitan dengan Gaza atau penderitaan rakyat Palestin.

Inilah wajah sebenar PAS. Bila ada peluang menunggang isu, mereka akan tunggang. Bendera Palestin jadi hiasan, mafla jadi aksesori, laungan jihad jadi retorik, tetapi di hujungnya ia hanya wadah untuk membakar sentimen dan memperkukuh kepentingan politik mereka.

Soalnya, apa kaitan URA dengan Gaza? Apa kaitan penahanan sukarelawan flotilla SUMUD oleh tentera Zionis dengan politik jalanan PAS di Kuala Lumpur? Tiada. Tetapi lebai-lebai PAS tahu, rakyat Malaysia mudah tersentuh bila dengar isu Palestin. Justeru, nama SUMUD ditarik, ditampal pada poster, lalu dijadikan ‘lesen moral’ untuk membawa agenda mereka sendiri.

Lebih ironi lagi, pada hari ini di Pahang, YAB Menteri Besar Pahang bersama Kerajaan Negeri turut mengajak rakyat menzahirkan solidariti terhadap SUMUD selepas solat Jumaat. Solidariti di Pahang itu bukan himpunan politik, bukan pentas untuk melaga-lagakan rakyat, sebaliknya satu perhimpunan ikhlas untuk menunjukkan sokongan kepada sukarelawan flotilla yang ditahan Zionis dan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Kerajaan Negeri Pahang memilih jalur berhemah, mengajak rakyat berhimpun di masjid, berdoa selepas solat Jumaat, dan mengangkat solidariti dengan penuh rasa tanggungjawab tanpa mempolitikkan isu. Ia jauh berbeza dengan PAS yang gemar membawa rakyat ke jalanan sambil menyelitkan agenda politik dalaman mereka.

Lucu sekali, slogan poster PAS berbunyi “Suara kita, senjata kita.” Tetapi suara PAS hari ini bukan lagi senjata melawan Zionis. Sebaliknya ia menjadi senjata untuk menyerang lawan politik dalam negeri, membela perasuah, serta menghalalkan tindakan pemimpin mereka yang dipalit skandal.

Jika benar PAS ikhlas memperjuangkan Palestin, mereka sepatutnya konsisten. Gunakan kedudukan di Parlimen untuk membawa usul tegas, berikan cadangan dasar yang berani, atau galakkan bantuan kemanusiaan lebih tersusun. Tetapi tidak, yang mereka pilih ialah jalan paling mudah – turun ke jalanan, jerit-jerit kononnya demi Palestin, sedangkan terselit agenda politik tempatan.

Lebih menyedihkan, mereka sanggup memperkecilkan pengorbanan sebenar sukarelawan flotilla SUMUD yang kini meringkuk dalam tahanan Zionis. Pengorbanan itu dipijak bila namanya diturunkan martabat menjadi sekadar prop untuk “Himpunan Mega” menolak URA. Solidariti yang sepatutnya suci, dimanipulasi demi nafsu politik.

Rakyat perlu celik mata. Jangan biarkan isu Palestin yang terlalu mulia ditunggang oleh PAS. Jangan biar nama SUMUD dicemar oleh lebai-lebai yang hanya pandai beretorik tetapi gagal menunjukkan perjuangan sebenar.

Hari ini mereka tunggang Palestin, esok mereka akan cari isu lain untuk dijadikan modal. Selagi kuasa menjadi matlamat, selagi itulah PAS akan terus memperalatkan apa sahaja  termasuk penderitaan rakyat Palestin demi kelangsungan mereka.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow