MFL gantung, denda tiga gergasi bola sepak tempatan

Gergasi bola sepak tempatan, Kedah Darul Aman FC, Sri Pahang FC dan Perak FC menerima tamparan hebat apabila hilang hak ke atas wang agihan merit selepas berakhirnya Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat selepas ketiga-tiga kelab berkenaan didapati melanggar Perlembagaan MFL, selain gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi musim 2025/26.
MFL menjelaskan hukuman itu diputuskan menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-15 baru-baru ini.
“Keputusan ini melibatkan penggantungan serta denda terhadap Kedah Darul Aman, Sri Pahang dan Perak,” kata badan pentadbir liga utama negara itu.
Berdasarkan keputusan mesyuarat, Sri Pahang digantung satu musim bermula 2025/26 selepas menarik diri daripada menyertai semua pertandingan anjuran MFL.
Sementara itu, Kedah Darul Aman dan Perak masing-masing digantung dua musim iaitu dari 2025/26 hingga 2026/27.
Selain penggantungan, ketiga-tiga kelab terbabit turut kehilangan hak ke atas wang agihan merit musim 2024/25.
Sebagai rekod, Kedah Darul Aman ketika ini beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 kendalian Liga Bolasepak Amatur (AFL).
Apa Reaksi Anda?






