Tembok Batu Rakit Runtuh Lagi: Projek RM4.95 Juta Jadi Saksi Lemahnya Kerajaan Negeri Terengganu

Oleh : BARD
September 25, 2025 - 16:26 MYT
Tembok Batu Rakit Runtuh Lagi: Projek RM4.95 Juta Jadi Saksi Lemahnya Kerajaan Negeri Terengganu

Pantai Batu Rakit sejak sekian lama berdepan ancaman hakisan ombak yang semakin serius. Fenomena ini bukanlah baru dan kerap berlaku setiap tahun, penduduk setempat berdepan keresahan apabila tanah di tepian pantai semakin hilang, rumah terancam, dan punca rezeki nelayan juga terkesan. Hakisan pantai adalah isu besar yang menuntut penyelesaian jangka panjang, melibatkan kajian teliti, kepakaran teknikal dan pelaksanaan projek yang benar-benar berkesan.

 Namun, malangnya, kerajaan negeri Terengganu sekali lagi membuktikan kelemahan mereka dalam menangani masalah ini. Projek pembinaan tembok penahan ombak bernilai RM4.95 juta yang diumumkan dengan penuh gah akhirnya runtuh sebelum sempat disiapkan. Ironinya, kebimbangan penduduk kampung yang sejak awal lagi mempersoalkan kaedah pembinaan dan bahan yang digunakan ternyata menjadi kenyataan.

 Penduduk sudah menegur beberapa kali,  mereka risau kalau projek ini hanya sekadar ‘asal buat’, tanpa mengambil kira faktor teknikal yang betul. Tetapi seperti biasa, jawapan kerajaan negeri penuh dengan nada angkuh. Katanya mereka ada ramai pakar, kononnya golongan profesional yang lebih tahu. Hakikatnya, yang runtuh bukan hanya tembok, tetapi kredibiliti kerajaan negeri sendiri.

 Duit rakyat bernilai hampir RM5 juta hilang begitu sahaja, seolah-olah dicampak ke dalam laut. Projek yang sepatutnya menjadi benteng menyelamatkan penduduk kini menjadi bukti nyata kelemahan pengurusan, ketidakcekapan serta kegagalan kerajaan negeri mendengar suara rakyat.

Masalah hakisan ombak ini bukan boleh diselesaikan dengan projek ala kadar atau retorik politik. Ia menuntut perancangan jangka panjang, kepakaran sebenar, dan keikhlasan untuk memastikan setiap sen duit rakyat digunakan dengan bijaksana. Tetapi sayang, di bawah pentadbiran kerajaan negeri Terengganu hari ini, apa yang lebih menonjol ialah sikap bermegah dengan gelaran "parti Islam" dan "ramai profesional", sedangkan hasil kerja penuh dengan kecuaian dan kegagalan.

Hari ini tembok runtuh, esok mungkin lebih banyak projek rakyat yang ikut hancur kalau cara urus tadbir masih seperti ini. Soalnya sampai bila rakyat Terengganu perlu menanggung kerugian akibat kelemahan kerajaan negeri sendiri?

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow