RM1 Juta Bawa Sinar Baru: Warga Emas Pahang Nikmati Subsidi Katarak 2025
Kerajaan Negeri Pahang terus menunjukkan keprihatinan terhadap golongan warga emas dengan meneruskan Program Subsidi Pembedahan Katarak Warga Emas Negeri Pahang 2025 berjumlah RM1 juta.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, inisiatif ini menjadi kesinambungan daripada pelaksanaan tahun sebelumnya yang terbukti memberi manfaat besar kepada rakyat.
“Program ini dilancarkan oleh YAB Menteri Besar pada 17 Mei 2025 di Hospital Kuala Lipis. Sehingga kini, seramai 655 warga emas di seluruh negeri telah menerima manfaat. Jika sebelum ini mereka terpaksa membayar antara RM800 hingga RM3,000 untuk membeli kanta intraokular, kini kos itu dapat dikurangkan melalui subsidi kerajaan negeri,” katanya.
Tahun 2024 Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta telah memberi manfaat kepada lebih 854 pesakit dan pada tahun 2025 Kerajaan Negeri telah peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membantu 655 penerima di seluruh negeri.
Terdapat empat hospital kerajaan yang menawarkan perkhidmatan berkenaan iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan (Kuantan), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Temerloh), Hospital Kuala Lipis (Lipis) dan Hospital Rompin (Rompin)
Apa yang penting, pengagihan subsidi ini dilaksanakan secara telus, adil dan inklusif tanpa mengira kaum, agama, latar sosioekonomi, mahupun fahaman politik.
Program ini bukan sekadar soal rawatan, tetapi memberi peluang kepada warga emas untuk kembali menikmati penglihatan yang lebih baik dan menjalani kehidupan harian dengan lebih berkualiti.
Dato’ Sabariah turut menyatakan keyakinan bahawa usaha ini mampu memberi “sinar baharu” kepada penerima, sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pahang benar-benar menitikberatkan kebajikan rakyat, khususnya golongan berusia yang amat memerlukan.
Apa Reaksi Anda?











