Mahkamah Rayuan Kekalkan Keputusan Kerajaan Pahang, Tolak Semua Rayuan Berjaya Hills Resort Berhad

Oleh : BARD
Julai 17, 2026 - 10:00 MYT
Mahkamah Rayuan Kekalkan Keputusan Kerajaan Pahang, Tolak Semua Rayuan Berjaya Hills Resort Berhad

Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak kesemua lima rayuan yang difailkan oleh Berjaya Hills Resort Berhad dan pihak-pihak berkaitan terhadap Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi serta mengesahkan kesahan tindakan Kerajaan Negeri Pahang menyemak kadar cukai tanah mengikut peruntukan undang-undang.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan panel tiga hakim itu memperkukuhkan kedudukan undang-undang bahawa kuasa menetapkan, menyemak dan meminda kadar cukai tanah adalah kuasa eksklusif Pihak Berkuasa Negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri menghormati sepenuhnya proses kehakiman dan menerima keputusan tersebut sebagai pengesahan bahawa segala tindakan yang diambil dilaksanakan mengikut lunas undang-undang, dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diperuntukkan serta berteraskan prinsip tadbir urus yang baik.

"Keputusan Mahkamah Rayuan ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pahang sentiasa melaksanakan tanggungjawab pentadbiran secara telus, berintegriti dan berlandaskan undang-undang, bukannya bertindak secara sewenang-wenangnya.

"Setiap keputusan yang dibuat mengambil kira kepentingan awam, pemeliharaan hak serta hasil negeri, di samping memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara mampan demi kesejahteraan rakyat selaras dengan Aspirasi Pahang 1st," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Panel Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk P. Ravinthran bersama Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Datuk Dr. Choo Kah Sing membuat keputusan sebulat suara menolak kesemua rayuan yang dikemukakan oleh syarikat berkenaan, sekali gus mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding rayuan itu, Kerajaan Negeri Pahang memohon kos sebanyak RM500,000 bagi kesemua lima rayuan. Setelah mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan pihak perayu membayar kos sebanyak RM100,000 kepada kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy menegaskan Kerajaan Negeri Pahang akan terus mempertahankan hak-hak negeri melalui saluran perundangan yang sah serta memastikan setiap dasar dan keputusan pentadbiran dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada dan prinsip tadbir urus berintegriti.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu turut memberikan kepastian undang-undang terhadap bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri dalam pengurusan tanah serta memperkukuhkan komitmen kerajaan negeri untuk terus mentadbir secara bertanggungjawab, telus dan berakauntabiliti demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow