Projek Naik Taraf Air Maran Siap Lebih Awal, 40,000 Akaun Pengguna Bakal Terima Manfaat
Projek menaik taraf Sistem Bekalan Air Maran terus menunjukkan perkembangan positif apabila jajaran utama dari Tajau ke Sri Jaya kini siap sepenuhnya, manakala kerja di Kampung Luit yang melibatkan 32,000 akaun pengguna dijangka siap pada April 2026.
Fasa seterusnya di kawasan Jengka pula melibatkan tambahan 8,000 akaun pengguna, menjadikan 40,000 akaun keseluruhan yang bakal menerima manfaat projek ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, ketika lawatan tapak sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st Daerah Maran, memaklumkan bahawa projek ini kini 40% lebih awal daripada jadual asal.
Beliau menzahirkan rasa gembira atas prestasi tersebut kerana ia memberi jaminan bahawa penduduk setempat bakal menerima bekalan air lebih stabil dalam tempoh yang lebih cepat.
Menurut beliau, jajaran yang telah siap ini dijangka mampu menyelesaikan lebih 90% masalah bekalan air di daerah Maran dalam masa terdekat.
“Walaupun pihak teknikal menjangkakan 100 peratus pemulihan, saya berpuas hati jika 90 peratus masalah ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Kerajaan negeri turut optimis mencapai sasaran menyelesaikan 90% isu air di seluruh Pahang menjelang akhir 2026. Daerah Bentong menjadi daerah pertama mencapai tahap tersebut, diikuti Raub dan kini Maran menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
Dato’ Sri Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada PAIP (Pengurusan Air Pahang Berhad) dan PAAB (Pengurusan Aset Air Berhad) atas komitmen dalam memastikan projek berjalan lancar serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Apa Reaksi Anda?











